11.5.11

Disiplin Nasional - Pemikiran S. H. Alatas Terhadap Asas Nilai Kebudayaan

Pendahuluan
    Menggali gagasan yang terangkum dalam hasil tulisan S. H. Alatas ini, pokok perbincangan beliau  ialah berkenaan dengan disiplin nasional. Kewajaran disiplin positif dipupuk dalam kalangan masyarakat adalah begitu mendesak untuk mengekang penularan disiplin negatif secara lebih tuntas. Untuk lebih adil, kita telusuri dengan lebih dekat.

Konsep Disiplin Nasional
    Beliau mentakrifkan disiplin nasional ini sebagai segala sifat-sifat usaha yang membangun dan ditujukan pada objektif-objektif tertentu yang dianggap baik dan perlu oleh masyarakat berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan serta dilakukan secara kolektif mengikuti peraturan-peraturan tertentu.
    Kontradiksi nilai yang lebih menonjol pastinya melibatkan perspektif antara nilai-nilai positif dan negatif yang wujud. Secara langsung daripada tindak-tanduk dan tindakan pihak yang berautoriti khasnya. Maka di sini, kita digugah dengan satu rangkuman nilai disiplin nasional yang lebih rasional sifatnya sebagai satu disiplin positif yang tujuannya untuk mencapai kesejahteraan masyarakat; keadilan dan keamanan di antara manusia; kecukupan hidup; pembentukan peribadi yang bermutu tinggi dalam bidang ilmu dan akhlak; serta segala sesuatu yang membawa kebaikan insan.
      Berasaskan teras makna yang telah dirincikan, terdapat satu kesatuan yang perlu dihuraikan agar kefahaman dapat digagaskan dengan lebih analitis dan berkesan. Keperluan disiplin nasional bukan sahaja satu lontaran populis yang bersesuaian dengan kadar peredaran politik mahupun kebudayaan semata-mata.  
    Namun, menurut S. H. Alatas – harus didasari dengan satu penilaian dengan keyakinan sifat yang bakal menentukan suasana dan disiplin nasional pada sesuatu tempat dan waktu yang tepat serta kewajarannya iaitu disiplin positif.

Korupsi, Tikus dan Implikasi
    Dalam memperlihatkan perbezaan antara faktor disiplin dan faktor kelas dalam masyarakat, beliau mengambil contoh korupsi sebagai satu perbandingan.
“…Walaupun kelas kapitalis sudah dihapuskan di negara komunis yang kononnya selalu membawa pada korupsi, nyata bahawa korupsi juga merebak di negara komunis. Jelaslah bahawa korupsi itu adalah satu gejala yang menghinggapi semua sistem masyarakat dan kelas.    
                                            (Halaman 125)
            Dalam membincangkan keperluan nasional, gagasan atau idea beliau sudah pastinya bertitik-tolak dari definisi awal yang telah diutarakan tadi iaitu “segala sifat-sifat usaha yang membangun dan ditujukan pada objektif-objektif tertentu” dan penilaian makna frasa “kolektif mengikuti peraturan-peraturan tertentu”.
     Perbincangan pokok masih lagi berkisar tentang matlamat akhir pelaksanaan iaitu kesejahteraan masyarakat dengan tertegaknya keadilan dan keamanan hidup yang rukun damai. Namun, ironisnya S. H. Alatas mengemukakan catatan sejarah bahawa krisis kewibawaan dan kemerosotan disiplin positif kerap kali didalangi oleh golongan atasan atau elitis.
    Dalam hal ini, beliau mengemukakan beberapa contoh dari sejarah Rumawi Purbakala, kejatuhan kerajaan Vietnam kepada pihak Komunis dan pandangan daripada penulis politik Itali yang mahsyur iaitu Niccolo Machiavelli. Sebagai satu perbandingan yang adil, disiplin negatif yang diwakili oleh perlakuan korupsi ini, disifatkan sebagai faktor utama yang merosakkan hidup kenegaraan.
     Menariknya, beliau turut melontarkan satu persoalan yang berkaitan dengan implikasi negatif atau lebih tepat lagi natijah daripada kelesuan pihak berkuasa menerapkan  disiplin nasional dalam kalangan masyarakat.  Antara lain, kemerosotan disiplin nasional akan menghalang proses pembangunan dan meruncingkan pertentangan kelas seterusnya mencetuskan kebangkitan revolusi.
      Seperti penegasan beliau dalam halaman 126:
“…Korupsi subur dalam keadaan merosotnya disiplin nasional kerana jika disiplin hidup dengan sendirinya korupsi tidak dapat berkuasa.”
    Membicarakan  persolan disiplin nasional, terdapat satu persoalan lain yang saling berhubung antara satu sama lain iaitu berkenaan hubungan manusia dengan hukum atau undang-undang. Sejauh mana hukum ini mempengaruhi kesepaduan nilai disiplin nasional kalangan masyarakat?
    Sekali lagi penekanan beliau lebih terarah kepada sifat-sifat positif yang perlu wujud dalam diri penguasa. Tuntasnya, hukum atau undang-undang hanyalah sebagai landasan aktor perundangan bagi mencapai maksud yang diingini iaitu keadilan dan kesejahteraan sejagat. Dan lebih mustahak daripada itu, pembersihan batiniah golongan ini paling utama bagi memastikan disiplin nasional ini berjaya memacu kepada pembangunan negara. Hal ini termasuklah kesedaran berkenaan sifat malu yang kolektif dan sifat marah terhadap kebejatan sosial.
     S. H. Alatas mengheret perbincangan ke satu ruang wacana yang diolah secara sinikal apabila mengetengahkan hasil kajian yang berkaitan dengan tikus. Tikus sinonim dengan lumrah sifatnya yang pengotor, bijak mencuri dan sentiasa mendatangkan kerosakan terhadap tanaman padi pesawah dan segala macam sifat buruk yang lain.
       Analogi ini seiring dengan saranan beliau:
“Jika kesedaran disiplin nasional merangkum sang tikus, maka sifat-sifat sang tikus juga nanti akan ditingalkan. Sifat-sifat sang tikus akan hidup jika disiplin nasional lemah. Malu akan sifat-sifat ini dan marah terhadap perbuatan yang berbau sang tikus, inilah satu kesedaran yang perlu timbul sebagai penggerak jiwa golongan berkuasa.    
                                                                                        (Halaman 130) 
 
   Untuk lebih jelas, permasalahan tikus ini diangkat dan dijadikan sebagai anologi yang praktikal kerana memperlihatkan keculasan penguasa yang dipilih oleh rakyat. Seharusnyalah reaksi dan kepekaan para pemimpin ini lebih menyeluruh sekalipun berkaitan dengan masalah tikus yang dianggap remeh.
     Pada akhirnya, peranan dalam menghidupkan disiplin nasional ini akan memastikan kelestarian kebudayaan nasional yang ingin dibentuk. Dalam erti kata yang lebih signifikan, menurut S. H. Alatas, “kebudayaan nasional ini ialah nilai-nilai kebudayaan yang dapat diterima oleh seluruh anggota masyarakat, nilai-nilai yang bertugas nasional, yang bersifat rasional dan moral, yang dapat mencangkum kemanusiaan, yang meninggikan darjat keadilan dan menguatkan keperibadian seseorang.”

Latoa Orang-orang Bugis dan Siri
   Mendukung kepada aspirasi tersebut, S.H. Alatas mengungkapkan satu lagi contoh yang menarik iaitu Latoa orang-orang Bugis yang tercatat dalam lontora-lantora dari kurun 16 dan 17 Masehi.
“Keseluruhan falsafah sosial dan budaya masyrakat Bugis, yang merangkumi hidup politik, keadilan, ekonomi, adat, keluarga dan lain-lainnya tersimpul dalam apa yang dinamakan ‘panngaderreng’. Ini dibagi pada lima bahagian, iaitu adat, keadilan, kekeluargaan dan hukum. Dalam menjelmakan ‘panngaderrang’ ini, satu dasar perbuatan dan pemikiran yang utama dianggap sebagai daya pendorong yang kuat sekali iaitu ‘siri’.”
                                            (Halaman 131)
    Makna siri Bugis ini merupakan inti pati atau asas pokok kepada pembudayaan yang perlu dihidupkan dalam budaya nasional kerana mempunyai sifat yang utuh dalam memperkuat dan memperkaya aliran-aliran kebudayaan sedia ada.
     Natijah kepada segala kegusaran yang terangkum dalam makalah ini menghujahkan beberapa pemikiran yang mendukung kepada kepentingan disiplin nasional kepada sesebuah negara yang ingin menempah pembangunan yang beridentitikan kebudayaan kebangsaan serta diterima oleh semua. Namun demikian,  setiap pemimpin yang berkuasa harus menjiwai prinsip-prinsip keadilan, kebaikan, kesejahteraan dan rasional seperti yang terdapat dalam nilai-nilai budaya warisan rantau kita yang pernah gemilang suatu ketika dahulu.  

Rujukan:
S.H. Alatas (Prof.), “Nilai Kebudayaan dan Disiplin Nasional”     dalam Zainal Abidin Borhan dan Wan Abdul Kadir Yusoff (eds.), 1985, Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan
Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan