30.12.10

Titip

Saat aku bicara ehwal ecer-ecer angin, 
    putar-putar rembulan 
jua mentari, mahupun 
    suci murni gunung-ganang 
di belantara waktu; 

aku masih peduli 
akan tenat petani, 
nazak ekonomi, 
resah-kesah wai-bi, 
lapar marhaen, 
rengek Si Yatim,
sekalipun aku masih curiga 
pada upaya kita mencanai padu bangsa.

Dari satu hingga lima
aku hanya membilang angka 
tanpa makna yang luhur
maju atau mundur.

Di Balik AFF: Dari Bukit Jalil ke Bung Karno

Sorotan perlawanan akhir Indonesia menentang Malaysia: 
Apabila Jagoan Malaysia diiringi keselamatan yang begitu ketat sedemikian rupa, lahir seribu macam persepsi dan persoalan. 
Antaranya sejauh manakah khalayak dan pencinta bola sepak di seberang mendewasa daripada jumud akal budi? 

Dan Malaysia juga masih curiga pada harmoni serumpun?
Atau kita semakin teruji?
Pada tindak dan diplomasi?

5.12.10

ANTARA "BUKU WAJAH" DAN "BUKU QALBU"

A.Samad Said - sumber GOOGLE
(dari catatan - Hujan Pagi - dari abjad direnda kata)
Posted on October 27, 2010 by samadsaid

Seperti petang minggu lalu, petang itu juga kawasan Masjid Negara dikabusi asap nyamuk. Pedih tapi, saya tidak tersedar kerana lebih terbenam dalam “The Facebook Effect”. Buku David Kirkpatrick mendekatkan saya kepada Mark Zuckerberg—mahasiswa sangat muda yang sempat merombak sistem perhubungan manusia.

Sebelum itu, selang sehari, bersandar di sebuah tiang dalam masjid bersejarah itu, saya sempat ditegur agamawan. Maklum saya baca buku Inggeris. Saya sempat cepat mengeluarkan buku “Hidup Sesudah Mati” oleh Bey Arifin. Saya bayangkan minat saya duniawi dan ukhrawi. Kerana kini 75 tahun tentulah lebih ukhrawi.

Saya terpikat oleh penjelajahan dan “kecapaian” Bill Gates, Jeff Bezos dan Steve Job, sebelum Mark Zuckerberg. Saya menapis manfaat daripada kejayaan duniawi mereka.Antara sedar dan khayal—sebelum azan Asar dan Magrib—saya sempat keluar daripada buku “The Facebook Effect” itu dengan lega. Dan saya kembali ke bumi sendiri. Pertama, tentulah saya sendiripun berharap bangat akan lahir Mark Zuckerberg di kalangan siswa kita. Siapa tahu dalam senyap akan hadir sekelompok mahasiswa Melayu yang sempat memulakan “BukuQalbu” mengimbangi “BukuWajah”—Facebook. Yang sebuah memang duniawi; sebuah lagi syahdu ukhrawi.

Apakah antara sebaik kandungan buku ukhrawi itu?

Sambil bersandar antara khayal dan sedar, saya mengharapkan dalam “BukuQalbu” itu nanti sempatlah siswa kita menyedarkan pemimpinnya supaya jangan gelojoh tambah menara; tambahlah rumah murba. Usahlah galak melonggok hutang; pulihkanlah ekuiti bangsa. Kurangkan varsiti klon-klonan; perbanyak varsiti sendiri. Dan, usah galak dengan wang ikhsan; bertuluslah beri royalti.

Akhir-akhir ini saya makin tersedar bahawa kita sangat selesa menjadi bangsa penjanji. Dan janjinya pula sentiasa mega. Kebanyakan janji itu berakar hutang. Akan banyak IPO, juga pelbagai bond—beban hutang bagi generasi datang.

Sementara berwuduk baru, saya terdengar: Bolehkah kita jadi bangsa penjimat, bukan pemboros? Elaklah jadi George Bush dan Gordon Brown yang lebih mewariskan hutang daripada mewariskan khazanah. Tolong abadikan itu dalam “BukuQalbu”. Tolong!

Catatan : Orang tua dari sejarah, aku jadi pilu. Pak Samad, janganlah kau mati dulu...

4.12.10

BUKTI

Aku selalu dewakan kalimat 'cinta Sang Angin'.
Bukan aku lemah. Tidak sekali.
Itu prinsip yang asas. Aku fikir begitu.

Tapi hari ini aku teruji.
Benar-benar.
Aku hulurkan tangan. Dia salam dan kucup.
Cukup syahdu dan suci.

Tapi aku mahu ia benar-benar suci - yang tulus dan luhur;
kalau aku tak hulur tangan untuk dia kucup.

Aku insaf.
Sepatutnya begitulah!

EKOR DUA RIBU SE-PULUH

Pertama langkah yang berderap; semua kenangan bagai terimbau.
Saat aku mulai jejak geroda raksasa di awan biru - antara harap dan juang.
Mimpi dan impian.

Semalam, aku mula menjadi insan.
Yang derita dicumbui neraka dunia.
Merindu syorga..
O, bidadari masih ayu; meski aku hilang tampan.

Tanah nusa Kenyalang, aku pulang!

19.09.10 / 9.54 pagi

1.12.10

KALAU...

Maaf aku guna kata 'kalau'.

Kalau aku mampu genangkan rahmat Tuhan laksana sebuah lautan,
aku ingin terus hidup abadi; berenang dan menyelam puas-puas.
Tanpa sisa dan sia-sia.
Kewajaran yang pasti, aku manusia yang akan terus teruji
dan diuji.

Dan tekal mencari, Rahmah Ilahi.
Kerana aku manusia, kau manusia.

26.11.10

MALU

Bila aku pejam mata, aku jadi malu pada wajah semalam.

Kadang-kadang toleh belakang,
macam ada bayang-bayang -
hitam pekat.

Lebih-lebih lagi pandang muka seorang kawan.
Dia selalu mengelak,
bercakap; apalagi gelak-gelak.
....

Tak macam dulu-dulu.
Sebelum kenal. Tapi dalam banyak-banyak teman,
dia dulu aku kenal.
Sama-sama first lunch.

24.11.10

KAU PERMAISURIKU!

Walaupun 'buku wajah' jarang aku buka; 
wi-em jarang aku ketuk, tapi kau harus tahu. 
hatimu tetap aku dakap. 

Dengan kasih mesra. 
Kau permaisuriku!

23.11.10

DOA (Chairil Anwar)

Chairil Anwar: sumber Google
kepada pemeluk teguh
Tuhanku

dalam termangu
aku masih menyebut namamu
biar susah sungguh
mengingat Kau penuh seluruh
cayaMu panas suci

tinggal kerdip lilin di kelam sunyi
Tuhanku
aku hilang bentuk
remuk
Tuhanku
aku mengembara di negeri asing
Tuhanku
di pintuMu aku mengetuk
aku tidak bisa berpaling

13 November 1943
(Puisi Chairil Anwar)

22.11.10

JANTAN MENANGIS

Jantan kalau menangis bukan jantan.
Tapi aku ingin selalu menjadi lelaki.
Yang menangis bila sedih, yang ketawa tika suka.

Selalunya aku menangis dalam hati, cuma
tanpa suara.
Menangis sebagai bukti - nurani kita masih manusia.

Walaupun dalam hati.

18.11.10

SALAM 'AIDUL ADHA

Selamat menyambut 'idul Adha buat semua.
Barangkali alam begitu mesra mendakap rahmah cinta-Nya yang berlingkar dalam kesyahduan hari raya ini.Begitulah saya, hari ini saya ingin  berkongsi dengan pembaca tentang satu artikel yang saya dapat hasil perbincangan bersama rakan sekampung saya yang menuntut di Universiti al-Azhar, Cairo, Mesir.Semoga kita mendapat manfaat atas perkongsian ini.
Mudah-mudahan.Insyaallah~


 Bahaya FAHAMAN WAHHABI !  
 (Hujah puak Wahhabi)
           
 Wujud sesetengah pihak yang mempertikaikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian iaitu rububiyyah, uluhiyyah dan asma’dan sifat yang mereka sandarkan fahaman ini kepada Syakh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab. Menurut mereka tiada dalil yang mendokong pembahagian tauhid sedemikian rupa bahkan ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., para sahabat baginda serta para salafussoleh.  Bahkan terdapat tuduhan yang lebih teruk yang menyatakan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian ini menyerupai konsep triniti dalam agama Kristian yang menyatakan Tuhan itu satu tetapi dimanifestasikan kepada tiga personaliti iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak (Nabi Isa a.s.) dan Tuhan Ruhul Kudus. Untuk menilai dakwaan-dakwaan ini seawajarnya kita menelusuri konsep-konsep yang ada dalam pembahagian tauhid kepada tiga ini. 

Tauhid Rububiyyah adalah keyakinan bahawa Allah S.W.T. adalah zat yang menciptakan seluruh alam semesta serta makhluk-makhluk yang terdapat di alam ini. Allah jugalah yang telah mengatur segala urusan makhluknya seperti memberi rezeki, menghidupkan, mematikan dan sebagainya.

Firman-Nya: Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu. [al-Zumar (39) : 62]

Tauhid jenis ini turut diperakui oleh golongan kafir pada zaman Rasulullah s.a.w. tetapi ini bukan bermakna mereka termasuk golongan yang telah mentauhidkan Allah S.W.T. atau mereka ini telah menjadi Muslim bahkan mereka tetap dengan kekufuran mereka kerana menolak Tauhid Uluhiyyah yang akan diperjelaskan selepas ini.
 
Bukti bahawa golongan kafir tersebut menerima bahawa Allah S.W.T. merupakan Tuhan yang telah mencipta segala sesuatu adalah seperti berikut:

Katakanlah: "Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?"

Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." 
Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak ingat?"
Katakanlah: "Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang  Dia
melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab) -Nya, jika kamu mengetahui?" 

 Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah."

Katakanlah: "(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?"
                                                                                                 [al-Mu’minun (23) : 84-89]

Sehubungan dengan itu dapat kita fahami bahawa bukan setiap orang yang telah mengakui bahawa Allah S.W.T. adalah Tuhan yang menciptakan segala sesuatu maka mereka telah mencapai kesempurnaan dalam mentauhidkan Allah. Kemuncak tauhid hanya akan dapat dicapai apabila dia telah menerima konsep la ilaha illallah yang bermaksud “tiada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah S.W.T " .Kalimah ini bukan sekadar menetapkan (ithbat) bahawa Tuhan yang berhak disembah hanyalah Allah tetapi kalimat ini juga menolak (nafi) segala bentuk peribadahan selain daripada Allah. Konsep inilah yang dinamakan Tauhid Uluhiyyah.
  
Tauhid Uluhiyyah menetapkan bahawa semua bentuk ibadah hanya ditujukan kepada Allah semata-mata dan tiada sekutu bagi-Nya. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah ibadah bermaksud taat kepada Allah dengan menjalankan apa yang telah diperintahkan-Nya melalui lisan para Rasul. Tambah beliau lagi ibadah adalah hal yang mengcakupi segala perkataan dan perbuatan baik yang zahir mahupun batin yang dicintai dan diredhai Allah.                                              
                                                 [Dinukil dari Fathul Majid Syarh Kitabut Tauhid, ms 27]

Justeru segala bentuk ibadah seperti solat, puasa, zikir, doa, permohonan pertolongan atau perlindungan, perasaan takut (khauf), tawakal dan sebagainya hendaklah ditujukan atau dipersembahkan hanya kepada Allah S.W.T. sahaja. Perkara ini telah Allah tekankan menerusi surah al-Fatihah yang sentiasa di baca oleh umat Islam sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat mereka iaitu:

            “Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan”
                                                                                                [al-Fatihah (1) : 5]
Merealisasikan Tauhid Uluhiyyah ini merupakan misi utama bagi setiap Rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T. di setiap penjuru muka bumi ini.
  
Firman-Nya: “Sesungguhnya telah Kami utuskan seorang Rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Beribadahlah kepada Allah dan jauhilah taghut.”
                                                                                                                  [al-Nahl (16) : 36] 
            Menurut Imam Malik taghut adalah setiap sesuatu yang disembah selain Allah.Tauhid Uluhiyyah inilah yang telah dingkari oleh golongan kafir sama ada pada zaman dahulu mahupun sekarang Sikap golongan kafir yang menolak konsep keesaan Tuhan ini telah digambarkan dalam al-Qur’an sebagaimana firman-Nya :
  
“Mengapa ia menjadikan tuhan-tuhan itu Tuhan Yang satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat mengherankan.”
                                                                                                            [Shaad (38) : 5] 
Maka mereka menyembah sesuatu selain daripada Allah bertujuan agar sesembahan mereka itu dapat memberi syafaat kepada mereka atau sebagai perantaraan untuk mendekatkan diri mereka kepada Tuhan. Sikap golongan ini adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah S.W.T. melalui firman-Nya:
             “Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan       kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata: "Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah". Katakanlah: "Apakah di bumi?" Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan (itu).”
                                                                                                         [Yunus (10) : 18]  

Tidakkah sikap golongan ini menyerupai gelagat segelintir kecil umat Islam yang mengunjungi kuburan-kuburan para wali bertujuan untuk beribadah serta meminta sesuatu permohonan? Bukankah alasan yang diberikan oleh mereka adalah perbuatan tersebut hanya menjadikan ahli kubur itu sebagai perantaraan agar permohonan mereka akan diterima oleh Allah S.W.T.? Aneh sungguh sikap mereka yang bertentangan dengan sunnah Nabi ini bahkan ia merupakan satu perbuatan yang bodoh kerana ahli kubur yang mereka seru itu tidak bernyawa serta tidak mampu untuk membantu agar permohonan mereka diperkenankan.

 Firman Allah S.W.T.: “Jika kamu menyeru mereka, mereka tidak mendengar  seruanmu dan jika mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan pada hari kiamat mereka akan mengingkari perbuatan syirik kamu itu dan tiada yang dapat memberi keterangan kepada engkau seperti (Allah) yang Maha Mengetahui.”
                                                                                                             (Faathir : 14) 
Tambahan pula melakukan perjalanan yang jauh semata-mata untuk mengunjungi kuburan orang-orang soleh dengan tujuan untuk beribadah dan mencari keberkatan di situ sebenarnya bertentangan dengan syarak.
Baginda bersabda: “Tidak boleh dipersiapkan perjalanan jauh (bertujuan untuk ibadah) kecuali kepada tiga masjid; Masjidil Haram (di Mekah), Masjid Rasulullah s.a.w. (Masjid Nabawi di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Palestin).
                                                                                     [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]  

Tauhid Asma’ dan Sifat pula adalah menetapkan apa-apa yang Allah dan Rasul-Nya telah tetapkan atas diri-Nya baik itu berkenaan dengan Nama-Nama mahupun Sifat-Sifat Allah dan mensucikan-Nya daripada segala aib dan kekurangan sebagaimana hal tersebut telah disucikan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Tauhid ini dalam erti kata lain adalah untuk mengenali Allah S.W.T. melalui Nama-Nama-Nya yang indah dan Sifat-Sifat-Nya yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna. Tidak ada jalan lain untuk sampai kepada pengetahuan ini melainkan melalui jalan wahyu iaitu berpandukan dari al-Qur’an dan hadis Rasulullah s.a.w. yang sahih. 

Berkaitan dengan Tauhid Asma’ dan Sifat ini Syaikh Muhammad bin Sholeh al-Utsaimin r.h di dalam kitabnya al-Qowa’idul Mutsla telah berkata: “Kita mengetahui bahawa Allah telah mengkhabarkan kepada kita tentang Diri-Nya dengan Nama-Nama-Nya yang indah dan Sifat-Sifat-Nya yang Sempurna. Kita juga yakin sepenuhnya bahawa Allah-lah yang paling mengetahui segala sesuatu, paling benar perkataan-Nya dan paling baik penuturan-Nya. Oleh kerana itu, kita wajib tanpa ragu-ragu lagi menetapkan Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut bagi Allah sesuai seperti mana yang Dia khabarkan sendiri kepada kita.Begitu juga sikap penerimaan kita terhadap khabar yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. yang mana baginda adalah orang yang paling tahu tentang Allah ‘Azza Wa Jalla, paling benar beritanya, paling tulus niatnya dan paling jelas penuturan serta penjelasannya. Jadi wajib kita menerima berita sahih yang datang dari baginda s.a.w.tentang Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah ‘Azza wa Jalla.

Dari keyakinan ini maka datanglah kaedah emas dalam memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah sebagaimana yang telah digariskan oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa:


   “(Hendaklah) beriman kepada apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diri-Nya di dalam kitab-Nya dan oleh Rasulullah s.a.w dengan keimanan yang bersih dari tahrif (Mengubah lafaz Nama-Nama Allah) dan ta'thil (Meniadakan atau mengingkari Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah) serta dari takyif (bertanya bagaimana sifat Allah) dan tamtsil (mengumpamakan atau memisalkan sifat Allah dengan makhluk-Nya).”

Secara ringkasnya kaedah ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Malik apabila ditanya tentang tatacara, ciri-ciri dan bentuk Istawa'. Jawab Imam Malik: “Istawa' (bersemayam) itu ma'lum (diketahui maknanya), Bagaimana (kaifiat) tatacara, ciri-ciri dan bentuk majhul (tidak diketahui), mengimaninya wajib, sedangkan bertanya tentangnya (tatacara, ciri-ciri dan bentuk) adalah bid'ah.”


Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah dari segi makna memang dapat kita fahami dan ketahui.  Sebagai contoh Allah berfirman:


"Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu (merasa) termasuk orang-orang yang (lebih) tinggi?". [Shaad (38):75]
Al-Yad dalam bahasa Arab maknanya tangan maka kita perlu tetapkan Sifat Tangan kepada Allah sebagaimana maknanya yang hakiki. Namun begitu bagaimana kaifiatnya (tatacara, ciri-ciri dan bentuk) al-Yad kita serahkan kepada Allah S.W.T. dan ianya di luar batasan akal untuk membayangkannya. Apabila Allah S.W.T berfirman yang Dia memiliki Dua Tangan dalam surah Shaad (38):75, kita beriman kepada firman-Nya. Tentu sekali Sifat itu sesuai dengan kebesaran-Nya, kemuliaan-Nya dan kesempurnaan-Nya dan sama sekali tidak menyerupai makhluk-Nya sebagaimana firman-Nya:
“Tiada sesuatupun yang seumpama dengan (Zat-Nya, Sifat-Sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
                                                                                                             [al-Syuura (42): 11] 
Ayat ini mengandungi penyucian (Tanzih) dan penafian kepada Allah daripada menyerupai makhluk-Nya, baik dalam Zat, Sifat mahupun Perbuatan-Nya. Bahagian awal ayat ini (Tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya..) merupakan bantahan terhadap kaum al-Musyabbihah dan al-Mujassimah manakala bahagian akhir ayat (Dan Dia Maha Mendengar dan Melihat) merupakan bantahan kepada kaum al-Mu'athilah (orang yang meniadakan sifat-sifat Allah). 

Kaedah Tauhid Asma’ dan Sifat ini sebenarnya merupakan kaedah yang telah disepakati oleh keempat-empat imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad tanpa sedikit pun perbezaan di antara mereka. Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah berkata dalam kitabnya al-Iman:
“Di antara rahmat Allah kepada para hamba-Nya adalah bahawa para imam yang mempunyai lidah kebenaran pada umat, seperti empat imam mazhab dan selain mereka, adalah bahawa mereka mengingkari (menentang) pendapat Ahlul Kalam   dari kalangan Jahmiyah tentang al-Qur’an, iman dan Sifat-Sifat Allah.” 

Beginilah secara ringkasnya tentang konsep pembahagian tauhid kepada tiga bahagian yang terbukti ianya berlandaskan dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Adakah wajar jika dikatakan Rasulullah s.a.w., para sahabat baginda serta para salafussoleh menolak konsep Allah itu mencipta segala sesuatu, Allah merupakan satu-satunya tempat kita persembahkan segala ibadah dan Dia memiliki Nama-Nama yang indah dan Sifat-Sifat yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna? Tentu sekali tidak wajar. 

 Jika konsep ini di tolak kerana Rasulullah dan para salafussoleh tidak pernah membuat pembahagian sedemikian rupa maka sewajarnya konsep sifat dua puluh itu juga perlu di tolak. Sila berikan mana dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang memberi pembahagian seperti fahaman sifat dua puluh ini. 
Buktikan juga bahawa Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda pernah menerangkan Sifat-Sifat Allah menggunakan metode sifat dua puluh. Jika setiap kaedah yang tidak pernah diamalkan oleh baginda dan para sahabat perlu ditolak maka kita juga perlu menilai semula semua kaedah-kaedah yang telah diguna pakai dalam ilmu Ushul Fiqh, ‘Ulumul Hadith, ‘Ulumul Qur’an dan sebagainya kerana penyusunan kaedah tersebut mahupun istilah-istilah yang diguna pakai juga ada yang tiada pada zaman Rasulullah. 

Kaedah-kaedah pengajian ini dilakukan oleh para ulamak untuk memudah pemahaman umat Islam terhadap ilmu-ilmu agama dan menyusunkannya agar ia lebih sistematik. Apa yang penting sebenarnya konsep dalam sesuatu kaedah itu perlu didokongi oleh dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana difahami dan diamalkan oleh generasi salafussoleh.

Pembahagian tauhid kepada tiga ini juga sama sekali tidak menyamai konsep triniti dalam agama Kristian. Tuduhan ini berkemungkinan dilontarkan oleh golongan yang sebenarnya jahil tentang fahaman triniti tersebut ataupun ia sengaja dilakukan dengan niat jahat. Jika pembahagian tauhid kepada tiga dikatakan bersamaan dengan fahaman Tuhan itu satu tetapi dimanifestasikan kepada tiga personaliti, adakah pembahagian Sifat-Sifat Allah kepada dua puluh boleh dikatakan berfahaman Tuhan itu satu tetapi dimanifestasikan kepada dua puluh personaliti? Sungguh ini merupakan satu pendustaan yang amat jelek.

Sekiranya anda telah mendengar atau terbaca kata-kata dusta tentang pembahagian tauhid kepada tiga bahagian ini maka berkata sebagaimana yang telah diajar oleh Allah S.W.T. : 

“Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu: "Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar."
                                                                                                             [al-Nuur (24) : 16]
Jawapan:
MENGAPA TAUHID TIGA SERANGKAI?
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat

 berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abal Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a.

Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim. Beliau juga menyatakan bahawa ia telah menjadi ijmak ulam di Tanah Melayu.


Antara kenyataannya berbunyi: 
Quote
“Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al Imam al Syafi’e r.a ijma’an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi’e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy’ari r.a. Diambilkan dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.


Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan. Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco. Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.

Sejak doktrin ini diguna pakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan sebagainya.

Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan akidah ASWJ yang tulen.

Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia diambil dari Falsafah Greek.

Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid. Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah menjadi pengganti Doktrin Sifat 20.

Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.

Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran ilmu tauhid di negara kita? Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ?

Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil dari fahaman falsafah Greek.

Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?

Dibawa Rasullulah SAW

Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.

Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi ini.


Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup akidah ASWJ.

Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara khusus.

Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini.

Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.

Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis. 

Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:

*Al ‘Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al Azhar. 
Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah. Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu.

Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut.

*Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Salamah al Qudha’i al ‘Azzami al Syafi’i r.a dalam kitabnya al Barahin al Sati’ah fi Raddi b’ad al bida’ al Syai’ah.


Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.

*Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya oleh ulama pada zaman ini. 

Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk al Ghuluw.

*Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu’ah.
  
Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid uluhiah.


Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah.

Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.

*Prof. Dr. Muhammad Sa’id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria.

Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16 hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

*Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari - Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai.

Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

*Al ‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin.

 Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.

*Al ‘Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi’i, ulama besar Mekah.

Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah Taala ‘an al Tasybih.

*Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis risalah mengenainya.

*Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan bukannya iktikad ASWJ.

Dalam satu petikan, beliau menyatakan:
Quote

Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.

*Al ‘Allamah Muhammad al ‘Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al Haram.

Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara’ah al Asy’ariyyin min ‘Aqaid al Mukhalifin.

*Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif Universiti al Azhar.

Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos 2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008. 

Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor.

Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk Kalimah Hadi’ah fi Bayan Khata’ al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).

*Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani.
  
Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.


Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga serangkai ini.

Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di khalayak ramai
Asas sahih

Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.

Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya, keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.

Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.

Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah.

Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.

Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki tauhid uluhiah?

Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau ahli tauhid?

Objektif tauhid Asma’ dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.

Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.

Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja ditimbulkan.

Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.

Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.

Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.

Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al Haramain al ‘Allamah Ibnu al ‘Arabi al Tabbani bertajuk Bara’ah al Asy’ariyyin. Ia telah diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari, Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihi.


6.11.10

DOA ATAU USAHA

Ibarat pahlawan di padang sasar. 
 
Busur tanpa panah; mana bisa membidik musuh?
 
Doakan itu senjata.

 
Begitulah, tamsil yang merungkai musykil.

5.11.10

MENYINGKAP SEJARAH

Sejarah ibarat cermin pandang
yang menjadi penunjuk jalan buat kita yang ingin bergerak ke hadapan.
Ya, tapi bagaimana?
Dengan realiti sejarah kita yang pincang.
Semakin kita mencari, kebenaran yang wujud seolah-olah palsu 
yang buta dan sesat.
Aku begitu sedih dengan realiti.
Barangkali Bumi Kenyalang dan Negeri Di Bawah Bayu 
adalah tamsil kesilapan.
Dan Singapura adalah bijak.
Oh, alangkah!