30.12.11

Analisis 12 Jam Rancangan Televisyen Swasta (TV3): Memahami Model Teks Simbolik – Refleksi Budaya Masyarakat Melayu



1.          Pendahuluan
        Masyarakat kita mutakhir ini sebenarnya memasuki lingkungan budaya baharu yang semakin mencabar. Teknologi yang ada khususnya tanpa sedar mulai mengintegrasikan masyarakat kita dengan lingkungan budaya global – wilayah dunia tanpa sempadan yang menggugah. Menekuni model teks simbolik sebagai satu bentuk perubahan, kita wajar untuk menyuarakan; apakah bentuk perubahan yang diingini? Justeru, kita akan telusuri secara tuntas konsep model teks simbolik ini.
        Model teks simbolik difahami sebagai agen perubahan budaya (juga ekonomi dan sosial) untuk menyampaikan makna melalui budaya simbol kepada masyarakat. Namun begitu, perlu disedari bahawa tidak semua teks dan simbol yang dihasilkan memaparkan makna budaya sama ada pengkarya mahupun masyarakat secara tepat dan khusus. Hal ini disebabkan simbol yang digunakan itu mempunyai tafsiran yang rencam – tertakluk kepada masyarakat yang menerima – namun, matlamat akhirnya cenderung untuk mendorong kepada perubahan tingkah laku bagi sebahagian masyarakat. Begitu juga dengan usaha untuk kelestarian identiti yang dapat dikelompokkan dalam bentuk pemikiran bersifat ideology. (Karl Mannheim: 1991).
        Dalam menghasilkan analisis ini, penulis memilih untuk membedah secara khusus rancangan televisyen swasta (TV3) bertarikh 13 Disember 2011 yang bersiaran secara langsung selama dua belas jam sebagai bahan utama dalam kajian ini. Kupasan yang dibuat akan cuba memahami secara tuntas signifikan rancangan yang dipilih terhadap khalayak sebagai refleksi budaya masyarakat Melayu sebagai ranah yang wajar untuk menjadi penanda aras dalam membentuk masyarakat yang berjati diri dan beridentiti.

2.          Analisis Bahan Kajian

          Sebanyak 24 rancangan telah dijadikan sebagai bahan dalam kajian ini. Namun begitu, untuk memudahkan proses  menganalisis; kesemua program rancangan telah dikelaskan dalam kategori yang tertentu. Senarainya adalah seperti berikut.
a)            Berita dan Informasi
                                        i.            Berita Terkini (9.00am)
                                       ii.            Berita Terkini (10.00am)
                                      iii.            Bizworld (11.00am)
                                     iv.            Berita Terkini (12.00pm)
                                      v.            Buletin 1:30 (1.30pm)
                                     vi.            Berita Terkini (4.00pm)
                                    vii.            Bizworld (5.30pm)
                                  viii.            Buletin Utama (8.00pm)

          Sepanjang dua belas jam saluran TV3 bersiaran, penonton dihidangkan dengan enam kali berita terkini  (berdurasi selama dua minit) yang berbentuk informasi semasa termasuk dua kali berita berbahasa Inggeris berkaitan dunia perniagaan (dalam dan luar negara) iaitu rancangan Bizworld jam 11.00 pagi dan 5.30 petang.
          Seterusnya, liputan separuh hari pula dibuat menerusi Buletin 1.30 pada jam 1.30 petang. Durasi selama setengah jam itu memaparkan isu-isu dan berita mutakhir dan ehwal masyarakat setempat.
          Rangkuman keseluruhan berita disalurkan menerusi rancangan Buletin Utama yang disiarkan pada waktu kemuncak/perdana seputar hal ehwal politik, ekonomi luar dan dalam negara, sosial masyarakat, sukan, hiburan serta cuaca. Namun begitu, kewujudan ruang iklan juga sebenarnya agak mengganggu tumpuan penonton untuk mengikuti berita berdurasi sejam itu dengan lebih berfokus.


b)          Hiburan Kanak-kanak
                                        i.            TV3 Kids School Break Special - Barbie Mariposa and Her Butterfly Fairy Friends (09.05am)
                                       ii.            TV3 Kids School Break Special (10.02am)
                                      iii.            Senda Pagi: Kem'Pink' (11.02am)
                                     iv.            Detective Conan (06.30pm)

          Bersempena dengan musim cuti sekolah yang masih berlangsung, TV3 turut menyediakan slot/rancangan khas berbentuk hiburan ringan kepada kanak-kanak.

Detective Conan   
          Empat buah rancangan telah dikenal pasti; namun, salah satu daripadanya iaitu Detective Conan merupakan rancangan kartun bersiri berbentuk penyiasatan yang disiarkan secara tetap setiap hari Isnin hingga Khamis. Detective Conan diadaptasi daripada sebuah komik popular Jepun yang berkisar tentang kehebatan seorang penyiasat muda (Shinichi Kudo) yang telah diracun oleh sekumpulan penjahat. Namun demikian, racun tersebut gagal membunuh beliau, tetapi mengecutkan badannya menjadi kanak-kanak sekolah rendah. Watak Conan Edogawa diolah sebagai kanak-kanak superior yang cukup bijak dalam membantu menyelesaikan pelbagai kes-kes jenayah terutamanya pembunuhan yang rumit. Walaupun identitinya masih lagi dirahsiakan, namun dengan adanya bantuan daripada Profesor Agasa, Conan mampu membantu Detektif Mauri dengan baik tanpa dicurigai. Drama ini dialih bahasa kepada bahasa Melayu secara keseluruhannya.
TV3 Kids School Break Special - Barbie Mariposa and Her Butterfly Fairy Friends
          Filem animasi fantasi bertajuk Barbie Mariposa and Her Butterfly Fairy Friends pula merupakan sebuah rancangan khas untuk kanak-kanak menikmati cuti sekolah mereka. Animasi ini menceritakan kisah pengembaraan rama-rama berbangsa pari-pari bernama Mariposa gemar membaca dan mempunyai impian untuk mencapai bintang di luar dunia mereka.
          Namun begitu, Mariposa kuirang berkeyakinan untuk berhadapan dengan masyarakatnya. Cabaran pari-pari cilik ini bermula apabila dia ditugaskan untuk mencari penawar bagi permaisuri mereka yang diracuni oleh pari-pari jahat bernama Henna. Mariposa akhirnya berjaya mendapatkan penawar tersebut setelah menghadapi segala rintangan dan halangan berbekalkan kecekalan serta keyakinannya yang tinggi.

Senda Pagi: Kem ‘Pink’  
          Slot Senda Pagi menampilkan figura kanak-kanak yang prolifik dalam bidang lakonan iaitu adik Famie Don menerusi Drama kanak-kanak berjudul Kem Pink. Drama ini disiarkan secara bersiri setiap hari Selasa dan Rabu setiap minggu juga membariskan pelakon-pelakon popular tanah air seperti Ezany, Rozita Che Wan, Norman Hakim dan ramai lagi.
          Menceritakan secara santai seputar gelagat anak-anak untuk menghadiri kem motivasi sewaktu musim cuti sekolah, Kem Pink juga memaparkan watak kanak-kanak berperwatakan lembut dan nakal yang dilatih untuk berdisiplin, berani dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi.

c)          Bual Bicara
                                          i.          Wanita Hari Ini (12.02pm)
                                         ii.          Inspirasi Pesona (05.35pm)
                                        iii.          Melodi Terhangat (06.02pm)
                                       iv.          Fuhh! (11.05pm)


Wanita Hari Ini      
          Program bual bicara yang mengupas isu dan hal-ehwal wanita semasa secara khusus pula disiarkan dalam  Wanita Hari Ini yang bersiaran secara langsung setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 12.00 tengah hari hingga jam 1.00 petang. Rancangan yang dihoskan oleh pengacara popular Rina dan Teh Syuhada ini juga memfokuskan kepada isu kewanitaan, kanak-kanak dan keluarga. Setiap hari, satu topik akan dipilih dan dikupas bersama oleh tetamu undangan selain persembahan secara live oleh artis jemputan. Interaksi dua hala bersama penonton di rumah juga dilakukan secara panggilan dalam talian.

Inspirasi Pesona
          Manakala rancangan Inspirasi Pesona pula slot khas yang memberikan kupasan menyeluruh berkenaan berkaitan dengan penjagaan kesihatan termasuklah kecantikan, penjagaan kulit, penjagaan rambut pelangsingan badan dan banyak lagi info berkaitan. Rancangan berdurasi selama setengah jam ini mengetengahkan pakar yang berkaitan dengan topik perbincangan seputar  tips berguna, informasi dan teknik dalam menghadapi permaslahan tersebut.
          Seterusnya, bual bicara berkaitan dunia selebriti Malaysia pula dipaparkan menerusi dua rancangan iaitu Melodi Terhangat dan Fuhh! yang mengetengahkan konsep yang hampir sama.

Melodi Terhangat dan Fuhh!
          Melodi Terhangat merupakan siaran ulangan pilihan sepanjang tahun 2011 berdasarkan rancangan Melodi asal yang dihoskan oleh pelawak popular Zizan Raja Lawak, Wahid Senario dan Dira Abu Bakar dan disiarkan pada setiap hari Selasa jam 6.00 petang hingga 7.00 petang.  Rancangan berbentuk hiburan ini menawarkan perkembangan berkaitan artis, pelakon, pengarah dan selebriti selain turut menyajikan ulasan album terbaru, majlis berkaitan artis, gosip terbaru, temuramah bersama artis, carta filem dan juga sedikit kontroversi yang menyelubungi dunia artis tanah air.
          Pengacara sensasi – Awal Ashaari – menerusi rancangan Fuhh!, beliau memberi sedikit kelainan dengan mengupas fesyen-fesyen terkini berkaitan artis tanah air, gosip panas artis, paparazzi dan juga cuba untuk menyelongkar keperibadiaan artis seperti beg tangan, kereta, rumah dan sebagainya menerusi segmen ‘selongkar’. Rancangan yang bersiaran secara langsung ini juga dilihat masih menggunakan konsep yang sama tanpa banyak persamaan dengan Melodi kerana masih berlingkar dengan ehwal kehidupan artis sendiri.
d)          Drama dan Filem
                                          i.          Dramasuria: Suraya (01.11pm)
                                         ii.          Sinetron: Putri Yang Ditukar (02.00pm)
                                        iii.          Telenovela - Bella Calamidades (03.00pm)
                                       iv.          Jom Relaks - Anak Semangka dan Penyihir Jahat (04.02pm)
                                        v.          Akasia: Tentang Dhia (07.00pm)
                                       vi.          Lestary: Cinta Elysa (09.00pm)
                                      vii.          Samarinda: Bunga April (10.30pm)
         
          Lambakan drama luar dan tempatan pula membanjiri saluran televisyen perdana seperti TV3 dengan tujuh buah drama bersiri tersebut dikenal pasti telah disiarkan sepanjang tempoh kajian selama 12 jam. Empat buah daripadanya adalah drama tempatan, dua pula drama Indonesia dan satu daripadanya merupakan telenovela Sepanyol.

Dramasuria: Suraya
          Slot Dramasuria menampilkan drama Suraya episod ke-15 yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 1.11 petang hingga jam 1.30 petang. Episod berdurasi selama setengah jam kali ini memaparkan Suraya dan Steve sedang membuat persiapan bagi perkahwinan mereka yang akan berlangsung. Namun, dalam kegembiraan tersebut Suraya pula menghadapi tekanan dengan kehadiran keluarga Mei Lee dari Hong Kong yang menuntut agar Suraya kembali ke Chian untuk melayakkan Suraya mendapat harta dan wasiat keturunan keluarga Lee. Pertelagahan antara Suraya dan tunangnya, Steve mula tercetus apabila kedua-duanya melihat perkara ini dari sudut yang berbeza; Steve melihat kehadiran Mei Lee sebagai peluang keemasan, sebaliknya Suria pula memandang perkara tersebut menuntut komitmen dan ikatan yang besar.

Sinetron: Puteri yang Ditukar
          Slot Sinetron pula memaparkan kisah pergolakan dan dendam kesumat antara keluarga menerusi drama bersiri panjang Puteri yang Ditukar yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 2.00 petang. Episod ke-45 berkisar tentang insiden Amira menjadi pemandu sementara kepada Rizky yang hampir melanggar kereta yang dipandu oleh Miesya, anak tiri kepada bapa kandung Amira iaitu Prabu. Konflik berterusan berlaku apabila Miesya yang masih dalam keadaan marah hampir melanggar Pak Wisnu ketika dia sedang melintas jalan. Pak Wisnu yang marah dengan tindakan Meisya cuba untuk memaksanya keluar dari kenderaan yang dipandu. Pergelutan berlaku antara Pak Wisnu dan sekumpulan lelaki tersebut namun kehadiran Arman berjaya menyelamatkan beliau daripada dibelasah dengan teruk.
          Episod ini juga memperlihatkan kemelut emosi yang dialami oleh Pak Wisnu dan Pak Prabu apabila mereka masih menyembunyikan identiti sebenar mereka kepada kedua-dua orang anak kandung mereka iaitu Arman dan  Amira semata-mata ingin memastikan dendam kesumat dan impian mereka tercapai. Di akhir episod ini, Amira ditemukan dengan  Pak Ihsan, ayah kandung kepada Zahira yang dikatakan mati oleh ibunya yang sedang pengsan kerana melarikan diri daripada Pak Prabu.

Telenovela: Bella Calamidades
          Telenovela Bella Calamidades merupakan sebuah drama bersiri berbahasa Sepanyol yang sarat dengan emosi dan konflik antara watak utamanya dengan kepercayaan karut-marut masyarakat sekelilingnya. Pergolakan hidup gadis cantik bernasib malang bernama Lola ini bermula apabila dia kehilangan kedua ibu bapanya sejak kecil dan dibesarkan oleh makciknya yang kejam. Sehingga Lola meningkat dewasa menjadi gadis, beliau berharap agar dapat bertemu dengan cinta sejatinya sekaligus mempercayai bahawa dia bukanlah penyebab kepada segala kecelakaan yang berlaku.
          Dalam episod ke-75 ini, Lola hampir dirogol oleh seorang banduan yang baru sahaja keluar daripada penjara. Banduan tersebut menuduhnya sebagai wanita pembawa semangat roh jahat dari kubur dan menggangu orang lain. Namun, kehadiran Marcelo akhirnya menyelamatkannya daripada dirogol. Marcelo cuba untuk meyakinkan Lola bahawa dakwaan banduan tersebut tak berasas dan tidak akan dipercayai orang. Namun begitu, sepupu kepada Marcelo iaitu Priscila dan Silvana turut menyimpan perasaan yang sama terhadap beliau dan berusaha keras untuk menyingkirkan Lola daripada keluarga mereka.

Jom Relaks: Anak Semangka dan Penyihir Jahat
          Menonton drama dongeng Anak Semangka dan Penyihir Jahat dari seberang dalam slot Jom Relaks membawa khalayak ke alam fantasi masyarakat tradisi dahulu kala yang kaya dengan kisah pengembaraan watak purba yang penuh dengan kesaktian.
          Perjalanan cerita dimulai dengan watak Murni, anak tunggal kepada seorang pasangan petani yang begitu mengingini seorang saudara. Dengan kuasa Tuhan, keajaiban berlaku apabila sebiji semangka (tembikai) sakti telah bergolek ke rumah mereka lalu muncullah seorang putera dari kayangan yang keluar daripada tembikai tersebut. Murni amat gembira dengan hadiah tersebut dan tidak kesunyian lagi.
          Konflik cerita bermula apabila seorang tukang sihir yang jahat selalu mengganggu penduduk kampung tersebut dan menculik Murni. Pengembaraan Putera Semangka bermula apabila dia pergi untuk menyelamatkan adik kesayangannya, Murni yang berada di Pulau Sihir. Pengembaraan Putera Semangka semakin mencabar dan berliku sehinggalah beliau berjumpa dengan manusia Kesempurnaan, Onyit (Raja Monyet) dan Oni (Raja Ular) serta dihadiahi sepasang sepatu sakti, cermin sakti dan permaidani terbang. Berkat kesabaran dan kecekalan Putera Semangka menempuhi segala rintangan dan dugaan, Murni terselamat dan  tukang sihir yang jahat itu berjaya dikalahkan.



Akasia: Tentang Dhia
          Drama Tentang Dhia yang bersiaran secara langsung setiap hari Isnin hingga Khamis disiarkan pada jam 7.00 malam. Drama berbentuk konflik kekeluargaan dalam  Slot Akasia yang berdurasi selama sejam ini bergerak dalam plot cerita yang rumit akan tetapi bergelut sepenuhnya kepada dilema yang dihadapi oleh watak utama iaitu Dhia.
          Dalam episod ke-20 ini, Zikir bertindak membawa ibu mertuanya, Mak Esah yang masih sakit untuk tinggal bersama namun tidak begitu disenangi oleh Ku Salmi (ibu Zikir) kerana bimbang akan Mak Esah sembuh dan membocorkan segala rahsia kejahatan yang telah dibuat oleh Ku Salmi dan Pak Boon. Perkara tersebut diadukan kepada  Pak Boon tetapi Pak Boon  melihat bahawa perkara tersebut akan memudahkan lagi usaha mereka untuk menyihir Mak Esah.
          Tanpa diduga, Melly yang sarat mengandung masih menyembunyikan diri daripada Raffi dan menyamar dengan mengenakan purdah di sebuah flat murah. Perlakuan Melly yang mencurigakan menjadi buah mulut jiran-jiran dan menuduhnya berzina.
          Insiden Mak Esah menegah Dhia daripada memakan nenas muda di hadapan Ku Salmi telah menimbulkan konflik antara mereka sekeluarga. Kejutan berlaku apabila Dhia telah disahkan mengandung oleh doktor. Namun demikian, konflik semakin berpanjangan apabila Zikir syak bahawa ibunya sengaja membeli nenas muda yang banyak untuk menggugurkan kandungan Dhia yang baru berusia dua minggu. Hal ini disebabkan Ku Salmi selama ini tidak pernah membuat kuih mahupun biskut dan mengesahkan lagi sangkaan Zikir tersebut. Perbualan telefon antara Ku Salmi dan Pak Boon didengari oleh Mak Esah.
          Kisah Melly yang masih bersembunyi semakin mendebarkan apabila dia berjumpa dengan kumpulan pengedar dadah yang masih memburunya di sebuah restoran. Identiti Melly semakin meruncing apabila dompetnya telah dicuri oleh salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut.



Lestary: Cinta Elysa (Episod Akhir)
          Ibu Elysa telah diugut untuk menyerahkan sejumlah wang yang banyak kepada Rasyid dan menghantarnya ke lapangan terbang. Dalam masa yang sama, kehadiran Haikal dan ibunya ke rumah Elysa begitu mengejutkan. Rupa-rupanya perkahwinan Elysa sudah diaturkan oleh ibunya sendiri tanpa pengetahuan Elysa sebaik sahaja dia mengambil alih kedudukan arwah bapanya sebagai peneraju syarikat.
          Aril yang mengetahui perkara tersebut begitu merindui Elysa. Namun demikian, Elysa kembali kepada Aril untuk mendapatkan haknya sebagai isteri yang sah. Kepulangan Elysa menghadirkan dilema dalam diri Aril kerana dia beranggapan bahawa kehadiran isterinya itu adalah untuk menuntut cerai; meskipun kasih sayangnya buat Elysa tak pernah luntur. Setelah Elysa berterus terang tentang penculikan yang telah berlaku, Aril bersetuju untuk pulang ke rumah Elysa sekaligus membatalkan perkahwinan yang telah diaturkan bersama dengan Haikal. Penangkapan Rasyid sebagai penjenayah dan dalang utama  dalam pembunuhan Datuk Jasman (ayah Elysa) akhirnya telah membuktikan bahawa Aril merupakan seorang yang baik dan benar-benar layak untuk menjadi suami kepada Elysa.



Samarinda: Bunga April
          Slot terakhir untuk drama Melayu berjudul Bunga April dikenali sebagai Slot Samarinda. Dalam durasi yang agak singkat (10.30 malam hingga 11.00 malam), Bunga April menyingkap kehidupan gah dunia korporat menerusi kewujudan Wangsa Holding dan syarikat seterunya.
          Episod ke-10 dalam drama bersiri ini berlingkar dalam plot cerita yang mulai berkembang dengan paparan watak Johar dan ibunya bercerita tentang hasrat Azman yang bakal bertunang dengan anak kepada kawan lama bapanyanya iaitu Sophian. Bibit-bibit konflik mula tercetus apabila Azman datang ke pejabat Sophian (bakal bapa mertuanya) dan mempersoalkan motif rancangan Sophian terhadap perkahwinan yang diaturkan.  Azman mengugut untuk menceraikan Ain Nadirah (April) jika bapanya, Tan Sri Azmi terus diganggu selepas perkahwinan itu berlangsung. Pada masa yang sama, Mimi (isteri muda Sophian) merupakan bekas kekasih Azman dan dalang kepada kejatuhan Media Corp.
          Tan Sri Azmi mengambil keputusan untuk mempercepatkan majlis pertunangan dan perkahwinan Azman kerana kesihatan isteri pertamanya (Hamidah) yang semakin tenat. Azman bersetuju dengan keputusan tersebut demi masa depan keluarga dan ibu kandungnya sendiri. Johar juga nekad untuk meluahkan perasaannya kepada April sebelum pemergiannya ke Dubai. Dalam masa yang sama, gadis yang dicintai oleh Johar itu (April) mula menghadirkan cinta pandang pertama buat Azman tanpa pengetahuan kedua-dua adik beradik ini.

e)          Sitkom (Situasi Komedi)
                                          i.          Senario Misteri Bamboo (10.00pm)
          Sitkom atau situation comedy rancangan Senario: Misteri Bamboo disiarkan setiap hari Selasa pada jam 10 malam. Sitkom ini menampilkan kumpulan pelawak tersohor tanah air, Senario dan barisan pelawak lain seperti Saiful Apek, Sharifah Shahirah, Ebby Yus, Achong Sweetchild, Bell Ngasri, Ayu Raudah, Yassin dan Kaza dalam 13 episod.
          Episod ke-2 ini berkisar tentang kejadian kecurian yang berlaku di tiga buah rumah di kampung mereka. Berita yang menggemparkan itu telah menggusarkan dua orang pemuda kampung iaitu Pian dan Saat. Mereka bimbang kerana dituduh melakukan kerja jenayah tersebut oleh Kassim dan Salleh. Begitu juga dengan Kak Nab yang seakan-akan syak dengan perlakuan mereka berdua yang mencurigakan.           Akan tetapi, sebenarnya mereka hanya terlibat mencuri buah kelapa dan kelapa sawit milik orang kampung untuk mendapatkan wang. Akhirnya, Pian, Saat dan Kak Nab berjumpa dengan Wak Dol untuk mendapatkan kepastian berkenaan pencuri yang sebenar dengan menggunakan kepakaran beliau menilik melalui mangkuk.



3.          Drama TV Mutakhir: Refleksi Roman Masyarakat?
         Garapan tujuh buah drama luar dan tempatan yang dipilih sebenarnya mengangkat beberapa simbol masyarakat yang memerlukan pemahaman yang teliti; terutamanya khalayak yang menikmati karya tersebut. Dalam keghairahan sidang produksi tempatan menghasilkan sesuatu karya (khususnya drama Melayu) dan penerbit rancangan memilih rancangan yang berkualiti untuk santapan minda masyarakat; adakah persoalan berkenaan refleksi roman (wajah) masyarakat dititik beratkan?
          Kita mengakui bahawa drama televisyen (juga filem; dalam cakupan yang luas) ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam membentuk pemikiran bangsa. S.M. Zakir (2010) menjelaskan;

          “Industri budaya ini mengakui bahawa mereka memenuhi keperluan pengguna untuk berhibur, tetapi pada hakikatnya mereka memanipulasikan pengguna untuk mengkehendaki apa yang mereka keluarkan.”

          Hujah ini berasas kerana penulis melihat manipulasi ini bertindak seragam dengan kebanjiran drama-drama Melayu yang diolah dengan ghairah tanpa mengambil kira faktor kebudayaan Melayu yang asli. Bahkan, khalayak diasak bertalu-talu melalui pengiklanan mega, promosi besar-besaran dan publisiti media melampau sehingga minda mereka terperangkap dalam ruang kerancuan budaya jati.
          Bagi merincikan kritikan seputar persoalan refleksi roman masyarakat ini, penulis menggalurkan beberapa capahan pandangan kepada pecahan berikut.

a)    Refleksi Sosiologi Masyarakat Melayu
          Gambaran berkenaan manusia individu dan masyarakat Melayu di layar/pentas lakonan penuh dengan kepalsuan yang rancu. Individu Melayu dalam drama dihadirkan sebagai watak manusia yang hebat-hebat belaka; hidup dalam singgahsana mahligai, menikmati kemegahan jagat korporat, elitis dan dilingkari pangkat serta darjat yang tinggi oleh pendukung (watak sampingan) cerita. 
          Ironisnya, akan wujud watak manusia Melayu yang begitu kontra dengan segala keindahan dan kemahsyuran seperti digambarkan dalam drama kajian penulis seperti drama Suraya, Tentang Dhia, Cinta Elysa dan Bunga April.
          Walaupun kebenaran ini agak pahit untuk diterima, namun pemencilan watak masyarakat marhaen sebagai entiti utama dalam sistem sosial masyarakat seolah-olah mengkhayalkan khalayak ke ruang fantasia baharu yang tidak wujud dalam dunia reality. Penulis berpandangan bahawa drama-drama Melayu mutakhir ini menjadi madat baharu  untuk membantu masyarakat melupakan segala persoalan  yang lebih utama berkaitan permasalahan sosial yang lebih meruncing seperti buang bayi, jenayah, rogol, penindasan dan kenaikan kos sara hidup yang semakin mencengkam.
          Drama Puteri yang Ditukar dari Indonesia dalam slot Sinetron juga tidak kurang rancunya apabila masyarakat Melayu di Malaysia turut dihidang dengan kepalsuan yang serupa. Kesemua jalinan plot cerita (hasil penaakulan penulis) yang berlegar dalam golongan elit ini dibumbui dengan simbol-simbol  non-realisme sosial. 
          Hakikat sebenar yang wujud amat kontra dengan dunia nyata masyarakat Melayu kerana ekonomi kapitalis di Malaysia masih lagi dikawal oleh bangsa lain. Justeru, citra apakah yang cuba diangkat dalam drama-drama Melayu mutakhir ini?

b)    Refleksi Psikologi/Jiwa Masyarakat Melayu
          Jaluran plot cerita dalam drama-drama Melayu masih lagi berlingkar dalam ruang keterhakisan nilai-nilai psikologi masyarakat sebagai penggerak jalinan perkembangan plot. Watak bergelut dengan peperangan terhadap persoalan jiwa yang rumit akibat diruntun perasaan yang bergelodak.
          Dari perspektif penulis, drama-drama Melayu (hatta filem Melayu sendiri) gagal mengangkat persoalan psikologi masyarakatnya secara serius dan menyeluruh. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui deretan drama seperti Tentang Dhia, Bunga April, Puteri yang Ditukar dan Cinta Elysa yang mengheret khalayak penonton kepada gelodak jiwa-dendam-kesumat yang tak berkesudahan antara watak-watak yang dijelmakan. Baik watak ibu mertua yang sinonim dengan niat jahat mereka untuk memisahkan pasangan pilihan anak mereka masing-masing (Tentang Dhia dan Cinta Elysa) mahupun kemelut dendam sesama elitis korporat Melayu menerusi drama bersiri seperti Bunga April dan Puteri yang Ditukar.
          Hakikatnya, drama Melayu kita seolah-olah kekeringan nilai jiwa selain harus dibumbui dengan tema percintaan. Hampir kesemua drama-drama (kajian penulis) ini kelihatan ghairah serta tergoda untuk melimpahkan bibit-bibit percintaan antara teruna dan dara – di sebalik duri ranjau dan cabaran yang dihadapi oleh figura-figura jelmaan tersebut.
          Persoalannya, adakah nilai jiwa seperti dendam dan percintaan uda-dara itu semata-mata nilai hakiki yang wujud dalam masyarakat Melayu? Adakah kita alpa dalam usaha untuk mengangkat martabat psikologi masyarakat Melayu yang tabah dan berdaya tahan?
          Begitu juga dengan drama Anak Semangka dan Penyihir Jahat yang diinspirasikan daripada dongeng rakyat Indonesia. Pihak TV3 dilihat kurang bijaksana kerana menerbitkan ‘drama sampah’ sedemikian rupa. Simbol-simbol kesaktian dan bercirikan dongeng itu sama sekali tidak sesuai untuk menggambarkan kekuatan jiwa psikologi Melayu bahkan menuntun khalayak untuk bersikap pasrah serta senantiasa mengharapkan keajaiban ‘dari langit’.
 
c)    Refleksi Kepercayaan dan Agama Masyarakat Melayu
          Unsur-unsur Islam yang telah berabad lamanya berakar umbi dalam masyarakat Melayu digambarkan kurang berperanan dalam kebanyakan filem/drama Melayu tempatan. Orientasi keagamaan hanya berperanan sekadar sebagai pelengkap kepada watak yang dihidupkan oleh barisan pelakon menerusi adegan seperti perkahwinan, kematian, perubatan tradisional dan sesekali ritual agama (solat, membaca Al-Quran dan kuliah agama).
          Untuk memperlihatkan perwatakan watak seperti alim, baik, solehah dan sebagainya; busana budaya (songkok, serban, purdah, kopiah tudung dan telekung) pula dijadikan sebagai batu asas membenarkan perilaku figura tersebut. Persoalan yang timbul kini tidak lagi berkisar tentang refleksi agama, akan tetapi jauh lebih besar ialah penyimpangan terhadap kefahaman agama yang benar.
          Unsur-unsur kurafat dan tahyul dilihat masih lagi menjadi momokan dalam drama Melayu mutakhir. Tentang Dhia khususnya, begitu jelas mempromosikan segelintir kepercayaan kolot tersebut menerusi watak  ibu kepada Zikir (Ku Salmi) yang menggunakan sihir terhadap Dhia, ibu dan bapanya bertujuan untuk membalas dendam dan memisahkan perkahwinan yang terbina. Sama halnya dengan keghairahan pengarah/penerbit filem mengungguli persada filem tanah air dengan lambakan filem-filem hantu – baik berbentuk humor mahupun action comedy.
         
4.          Saluran Berita Arus Perdana sebagai Alat Propaganda Politik Sempit

          Mengakui bahawa media arus perdana merupakan saluran yang tepat bagi pihak kerajaan menyebar info serta dasar-dasar yang berkaitan, namun penulis melihat keterbukaan pihak media masih lagi terkongkong.
          Buletin Utama khususnya masih lagi dinilai sebagai alat propaganda politik sempit parti-parti tertentu. Ulasan berita yang disajikan kepada para penonton cenderung menghentam dasar dan tindak-tanduk pihak parti pembangkang tanpa laporan yang telus dan adil. Bahkan, sesuatu isu yang bersifat sensitif dan disifatkan taboo dalam masyarakat kita diperkatakan secara berleluasa tanpa pertimbangan yang wajar terhadap tanggungjawab media yang lebih hakiki – pencetus fikiran rakyat. 
          Contohnya seperti isu rakaman video lucah dan kes liwat ketua pembangkang yang masih lagi dibicarakan di mahkamah.Tindakan pihak media sebegini kelihatan terlalu obses untuk membentuk ‘penghakiman persepsi’ terhadap kes yang masih lagi berlangsung.
          Ironisnya, masyarakat masa kini yang terdedah kepada sumber maklumat tanpa sempadan yang bergerak pantas semakin matang menilai segala maklumat yang disalurkan kepada mereka. Adalah kurang bijak untuk media televisyen seperti TV3 untuk terus menutup ruang keterbukaan penyampaian maklumat mereka dan memilih untuk berpihak kepada sesuatu parti politik kerana akan menjejaskan kelangsungan hayat media mereka pada masa yang akan datang.


5.          Hiburan Kosong Tanpa Pemikiran
          Masyarakat kita dilonggokkan dengan segala macam hiburan semasa yang kosong tanpa pengisian pemikiran yang difikirkan wajar. Dunia glamor selebriti dijadikan sebagai modal utama untuk mencatatkan jumlah penonton yang pastinya akan menguntungkan syarikat televisyen tersebut.
          Antaranya seperti rancangan Melodi dan Fuhh! yang dapat dinilai sebagai rancangan murahan yang menjaja kisah-kisah peribadi para selebriti tempatan dengan alasan mereka ini merupakan public figure – massa berhak mengetahui segala ehwal kehidupan mereka tanpa batasan.
          Begitu juga dengan rancangan sitkom seperti Senario: Misteri Mamboo yang sekadar berbentuk hiburan ringan yang gagal menyampaikan pemikiran bernas kepada khalayaknya.
          Malah, penonton dihidangkan jenaka yang berunsurkan kepercayaan terhadap seorang bomoh Jawa yang ternyata berniat untuk menipu dan mengaut untung semata-mata.
          Sudah sampai masanya, rancangan hiburan tanah air kita beranjak daripada bentuk sedia ada yang lapuk. Fenomena “Bread and Circuses” moden seharusnya tidak lagi mencengkam minda massa sesuai dengan kemodenan teknologi yang kita nikmati hari ini. (S. M. Zakir: 2010). Methodologi pemerintah Rom untuk menguasai massa terdahulu tidak lagi relevan untuk masyarakat Melayu ketika ini.


6.          Penutup
          Tuntasnya, industri hiburan dan seni kita terlalu masih jauh untuk mencapai keutuhan yang diingini – membentuk masyarakat yang sedar akan usaha ke arah melestarian warisan budaya berjati diri. Media televisyen kerajaan/swasta, penggerak seni kreatif (pengarah, produser, penerbit dan pelakon)  harus diberikan ruang yang besar untuk mengadakan pembaharuan yang difikirkan wajar bagi memartabatkan kebudayaan Melayu yang hakiki.
          Dalam masa yang sama, khalayak (penonton) perlu bijak menyaring serta memahami segala bentuk simbol-simbol yang wujud dalam medium hiburan tanah air agar tidak terperangkap dalam lingkaran idealisme baharu yang menggugat.
          Adalah diharapkan, kewujudan kandungan rancangan yang memenuhi rangkaian saluran televisyen tanah air bukan sekadar hiburan kosong tanpa pengisian bagi membentuk pemikiran anak bangsa, malah mampu bertindak sebagai pencetus kepada pencerahan minda menjadi masyarakat yang ungul serta berbudaya.

7.       Rujukan
Hasyim Awang, Othman Yatim dan Nor Azita Che Din (Eds.). (2006). Wacana  Budaya
Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.

Karl Mannheim. (1991). Ideology and Utopia: An Introduction to the Sociology of           Knowledge. London: Routledge.

S. M. Zakir. (2010). Sinema: Kumpulan Esei Ulasan Filem. Kuala Lumpur: Nusabuku     Enterprise.

Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Budaya yang Tercabar. Kuala Lumpur: Dewan           Bahasa dan Pustaka.

Wan Abdul Kadir Wan Yusoff. (2006). Peradaban Melayu dalam Modenisasi dan           Globalisasi Budaya dalam Hasyim Awang, Othman Yatim dan Nor Azita Che  Din (Eds.). Wacana Budaya. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.



6.12.11

Nc O, Nc

Ingat lagi rasionalisasi subsidi, alah, lebih kurang macam kopi O kaw mamak,
bezanya sudah tambah Creamer sejat McD, free kalau tak Pandu Lalu.

Tataplah wajah mereka ini dengan tunak.
Mereka ini adalah generasi kedua terakhir untuk pelapis sarjana dan intelektual
dalam bidang sosio-budaya Melayu.
Ingin dikhabarkan ini adalah benteng terakhir untuk umat Melayu
terus gagah menghadapi rempuhan arus globalisasi.
Hampir pasti, jurusan bidang pengkhususan sebegini akan pupus.
Digabungkan dengan Jabatan Seni.
Ilmu yang ingin dicurahkan makin celaru dan rancu.
Ingat, apabila anak muda hampir tak mampu menguasai bidang ilmu. Akhirnya ke mana? Mau jadi apa?
Akhirnya, ilmu itu tidak lestari.
Namanya apa? Gila ada 99 jenis gila. Maka aku kata.
Baik, ini buktinya!