2.1.12

EKOR DISEMBER DAN MUARA JANUARI DUA-RIBU-DUABELAS



Tika ekor Disember yang begitu menggugah, aku mula sedar bahawasanya pendakian menjadi insan begitu berliku. Tidak semudah membilang dan mengeja aksara kata. Meniti dewasa serasa membina batu-bata ke langit senja - jagat dunia yang kadangkala kejam dengan isi manusianya. Untuk itu, maafkan aku jika terlalu prejudis.

Dua-ribu-sebelas begitu lelah mencorakkan warna sejarah hidup. Iya, kisah orang tua yang dulunya begitu dekat dan mesra memahat kenangan; lalu kini sudah tiada - pergi meninggalkan dunia yang fana. Dari menjadi siswa Tahun Pertama yang mentah dengan rencah gelora alam kampus hingga mulai dewasa meredah denai ilmu dengan cahaya pengalaman khusus.

Segalanya mengajar dengan sabar tiap-tiap bentuk tindakan dan gerak fikir minda.Dan itu yang benar. Aku perlu jadi diri aku yang sejati. Belajar menilai manusia dan masyarakat yang bergelut malah sering saja bergolak. 

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10
Bahasa Melayu di Menara Gading - penghinaan dan tamparan
Pilihan Raya Kampus
Festival Seni Universiti Malaya
(sekadar mencatat limpahan isu penting yang menggugah dunia kampusku...)

Menjadi dewasa pula aku perlu lebih gagah. Tekun usaha dan murni sahsiah.Itu impianku selayaknya seorang muslimin.

Hampir pasti, Aidilfitri 1432H (dalam usia ke-24 yang dirai bersama teman-teman rapat) - adalah yang paling bermakna. Sekurang-kurangnya setelah dua orang insan penting dalam hidupku sudah tiada. Bukan bermakna yang sudah-sudah kurang meriah dan indah untuk dikenang. Sekurang-kurangnya, setakat usiaku yang mentah dan bergelar siswa, masih mampu sediakan segala biaya untuk mak dan kakak tercinta serta keluarga. Meski sekadar mewah dalam pengertianku sendiri yang memahami. Yang paling utama, aku berjaya kumpulkan sekalian mereka; mesra, bahagia dan erat mendakap muhibah sebuah keluarga (selain Syawal 1429H sewaktu aku bekerja sepenuhnya dan kami berkumpul di rumah Mak Usu Saniah). Untuk itu aku puas menjadi seorang anak!

Sejujurnya, aku semakin jauh daripada keluarga. Terutamanya emak. Yang melahir dan membesarkan aku sehingga berakal. Benar. Aku mula menjadi pengembara sejak memasuki alam remaja. Bersekolah di empat buah sekolah menengah yang berbeza; sekolah agama, SBP (SM SAINS), Teknik dan sekolah biasa di Tingkatan 6. Tiga daripadanya asrama. Waktu awal remaja semuda 13 tahun itu jugalah krisis keluarga melanda; memaksa aku tinggal bersama bapak. Aku terdidik mentafsir manusia sekeliling dengan faham dan fikirku sendiri - juga dengan panduan beliau. Namun aku masih bebas untuk memilih. Sayangnya, hayat bapak yang mulai mesra aku dampingi sebagai teman rapat sekadar bertahan selama 2 tahun sebelum dia pergi selama-lamanya - ketika takbir minggu pertama Syawal masih lagi basah dilidah umat Islam. Sejak itu, aku makin jauh; dan jauh berkelana justeru hanya punyai teman-teman dan sahabat yang begitu memahami. Di situ aku belajar merangkak, berjalan,kadang-kala berlari, jatuh dan kemudiannya bangun semula bagi membuktikan aku juga hebat seperti anak-anak lain. Dan dua-ribu-sepuluh aku mula terbang memburu cita-cita dan impian. Iya. Tapi perjuangan  baru saja bermula.

Dua-ribu-sebelas ini juga detik bermakna; kurang-kurang lakaran kenangan antara aku dan mak. Pusing-pusing kota Kuching hingga lewat senja masa cuti semester panjang 4 bulan. Untuk itu aku bahagia; setelah mampu saksikan dia gembira dan ketawa lagi - sama seperti waktu Mak Tua masih ada. Dan wajahnya sedikit sayu tatkala menjamah Seafood mewah di restoran ternama di Kuching. Seolah-olah mak menangis. Namun bukan seperti tangisan sewaktu berpisah dengan bapak. Jujurnya, aku juga menangis, (sama seperti tangisan aku saat pertama kali terbaca surat talak mak di bawah lipatan kain batik suatu ketika dahulu.) Dan hari itu juga, dendamku mula lebur bersama kasih sayang mak yang tak pernah luntur.

Menyusur muara Januari di hilir dua-ribu-duabelas ini, untuk mak, moga Allah lanjutkan usia; kurang-kurang hingga aku benar-benar jadi manusia - boleh hantar mak ke Tanah Suci -  mampu berbakti kepada agama, masyarakat dan negara.

Nota buat teman: Onak dan duri yang kita lalui, tak pernah serupa. Namun sama susur denainya; selagi kita terus gagah, selagi itu kita mampu tersenyum megah.