20.10.10

BULAN?

"Aku gagah." 
Mentari bergema.
"Rakus dan serakah," bisikku.
"Tirani."
"Kau tewas dalam gerimis senja," jawab Bulan. 
Sinis.
......
Begitu Bulan lebih mengerti, alangkah!

3.10.10

TETAMU SENJA (SN Dato' A. Samad Said)

Tasik Proton City : Tanjong Malim

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepada-NYA
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala


Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan


Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad


Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas


Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat


Catatan: Pak samad, janganlah kau mati dulu...





2.10.10

CERPEN : MISON- SALAM CINTA ENTIKONG

Mison – Salam Cinta Entikong
yusufjalli
Pasir Pandak tenang berbicara. Ombak yang menghempas dada pantai bagai melepaskan sejalur rindu yang terpendam sekian lama. Sesekali awan larat berlari-lari di laman senja merah nan indah – tika dibelai pawana manja yang asyik.
Mison tersenyum. Hatinya berbunga. Tidak putus-putus lidahnya melafazkan kata syukur. Dia sendiri jarang benar berasa rindo’ begini. Benaknya mula mentafsir perasaan aneh yang mula berlingkar dalam relung-relung hatinya. Namun dia sendiri begitu bebal untuk memahami perasaannya.

Tika ini, Mison ingin sekali berlari ke Pulau Salak untuk menyatakannya. Ataupun berkayuh perahu kecil kepunyaan Wak Buan hingga ke Pulau Beradik – walaupun dikatakan oleh orang kampong sik kala’. Biarlah!  Dia sik lale’ agi’. Dia sanggup disela’ orang atas perlakuannya itu.

Biar semua tahu. Perasaannya waktu ini. Biar burung-burung yang merindui senja tua pulang ke sarang dan bercerita kepada anak-anak mereka – tentang Mison yang sedang rindo’ ati.

Dalam usianya yang menjangkau tiga puluh tiga tahun, Mison bagaikan tidak percaya. Bahkan mempersoalkan kesediaannya untuk semua itu. Memiliki seorang wanita asing – berlainan bangsa dan agama – juga raut wajah yang mempersona. Hingga kini jiwanya berpusar-pusar oleh perasaan yang berbaur – gembira dan takut.

Ya. Takut, sekiranya segala impian itu sekadar angan-angan yang takkan kesampaian.

Selama ini pun bukan tidak pernah dia bergerek. Pernah. Tika umurnya di awal 20-an, dia ada berkenalan dengan seorang gadis dari kampung Tupong. Maria namanya. Mison ingat lagi. Waktu itu dia pergi bersama dengan Sukor, Awang, Leman dan beberapa orang teman.

Seperti anak-anak muda yang lain, sudah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk berkunjung ke rumah orang pengilanbertandak dan bernopeng. Tapi hubungan mereka takat kenalan biasa sahaja. Dia sendiri begitu cuak untuk meluahkan perasaannya kepada Maria. Dan sekarang Maria sudahpun bernikah dengan Sukor. Anak lima.

Di Lundu pun Mison ada menyimpan kenangan. Bergerek dengan anak gadis Kampung Dagang – bertemu sewaktu membeli buah durian di Pasar Gading. Dan pada masa yang sama dia juga terpikat pada kejelitaan anak gadis seorang tauke di Kampung Sebiris.

Namun tidak seorang pun gadis-gadis ini lekat di hatinya. Bahkan dia selalu sangsi akan kesediaan dan kemampuannya untuk benar-benar berbini. Dan biasanya Mison menganggap kenangan ini sebagai mimpi indah yang menghiasi usia jejaka bujang sepertinya.

Tetapi, kali ini lain benar. Mison sungguh-sungguh. Semuanya bermula sejak dua bulan lepas.

Setiap hari, dia dan abangnya Lan-Juk akan pergi ke sempadan Tebedu-Entikong untuk membeli buah durian. Sejak buah durian dari Pasir Pandak habis luruh dan hanya tinggal batangnya saja, Mison cuba untuk mencari di tempat lain.

Syukurlah. Dia akhirnya bertemu dengan seorang janda muda beranak satu di Pasar Tamu Serian. Pada mulanya dia takut-takut untuk memulakan bicara. Bimbang kalau Lan-Juk sedar akan perbuatannya bercakap dengan orang asing sembarangan. Mison cuak benar kalau abangnya manas

“Assalamualaikum. Kitak sik gagokah? Boleh kamek tumpang tanya?”

Perempuan itu tersenyum manis – menyerlahkan kejelitaannya. Salamnya tidak berjawab. Mison bingung. Sesekali matanya mengerling ke arah Lan-Juk. Lidahnya kelu. Jantungnya saat itu bergetar.

Kamek bukan Islam pak. Kamek bidayuh Indon. Dayak Indon kata orang sitok. Datang dari Balai Karangan, Entikong. Kitak mau tanya apa?”

Sekali lagi dia menguntum senyum. Lewat bicaranya.
Tiada kata yang mampu diucapkan. Mison membalas senyuman itu lalu pergi mendapatkan abangnya.

Dan sejak pertama kali itulah cinta Mison pada janda muda itu mula mekar. Semekar bunga-bunga durian yang mulai galak di dahan. Bertunas lalu kian membesar dan mengharum saban hari.

Peristiwa itu akan senantiasa mekar di hati Mison. Janda muda yang dipanggil Mak Dewi itulah yang membuka pintu rezekinya di sempadan Entikong-Tebedu  sekaligus menjadi peraih buah durian kepada penduduk Balai Karangan bagi pihaknya.

Paling utama, kini Mison sudah jatuh cinta pada Entikong – masyarakat dan budaya mereka. Jika dulu dia hanya mendengar tentang kehidupan mereka yang serba merinsa’ daripada kelaka orang-orang tua. Tetapi kini, Mison sendiri berasa kagum akan semangat wanita-wanita Entikong yang begitu gigih dan kental berniaga.

Terasa jauh benar bezanya. Jika dibandingkan dengan sifat warga kita sendiri. Bagaikan langit dengan bumi. Mereka begitu bersungguh-sungguh untuk bersaing sesama sendiri – melihat setiap peluang adalah ruang untuk memajukan ekonomi sendiri. Dan lebih mengkagumkan, rata-rata peniaga di sini adalah kaum wanita.

Pada Mison, Mak Dewi adalah citra keunggulan wanita Entikong itu sendiri. Citra keunggulan semangat seorang wanita yang tegar berjuang untuk hidup dalam lingkaran kesusahan dan gelombang cabaran. Dalam kelembutan bicaranya yang senantiasa terukir senyuman, terselit ketegasan. Jiwanya begitu kental untuk digugah oleh apa jua puing-puing goda yang menggetar.

Kerana itulah, Mison begitu kagum dan tertarik pada susuk bernama Mak Dewi itu. Baginya Mak Dewi amat payah untuk dicari. Satu antara sejuta layaknya. Dan wanita itu adalah anugerah teristimewa daripada Allah untuk dirinya.

Azan Maghrib syahdu bergema. Mematikan lamunan panjang Mison yang menjejak jauh di sempadan Tebedu. Perlahan-lahan wajah Mak Dewi, Mak Anting dan Bibik To-To hilang ditelan suara hempasan ombak yang gagah dan tekal memintal buih-buih di dada pantai. Setekal semangat warga Entikong yang senantiasa gagah memintal bebuih harapan di pantai kehidupan. 

Mison bergegas pulang. Bimbang terlepas waktu untuk berjemaah di masjid. Pada  sujud akhirnya nanti, ada doa panjang yang ingin dipanjatkan. Doa sejahtera buat warga Entikong dan bunga cintanya yang dipuja. 

            Usai solat Zohor, Mison bergegas mendapatkan keretanya di halaman rumah. Kali ini dia benar-benar sudah bertekad. Dia sendiri sudah berkelaka perkara itu dengan Mak Dewi pagi tadi. Yang pasti Mak Dewi sendiri sudah bersetuju dan menerimanya dengan gembira. Sungguh. Nubarinya kini sudah berbunga riang.

            Sungguh. Tekadnya benar-benar bulat. Keputusan ini adalah muktamad. Tiada sesiapa pun yang dapat mengubahnya lagi.

            Sudah tujuh malam berturut-turut Mison bersolat Istiharah. Memohon petunjuk daripada-Nya. Dan kini hatinya begitu lapang tika memutuskannya.

            Cuma sekarang dia begitu risaukan Lan-Juk. Abangnya yang tua. Kadang-kadang Lan-Juk begitu bengkeng untuk menerima keputusan adiknya sendiri. Mison sedar akan hal itu.


            “Dirik jangan main-main Son. Perkara bernikah-berbini tok bukan macam beli durian di Entikong nun.  Tambah agi’ mereka bukan orang negeri kita. Banyak masalah lain yang akan timbul.”
            “Abang bukan maok medo pilihan dirik. Memang benar, Mak Dewi ya bait orangnya. Tapi kita sik tauk asal purihnya. Kena’,dah habiskah perempuan lain yang seagama dan sebangsa dengan kita untuk dirik ambil jadi bini?
Mison sudah dapat mengagak . Ternyata kegusarannya berasas.
“Niat dirik nang bagus Son. Embak orang Dayak masuk Melayu. Tapi apa susei orang kampung kelak? Dah juak perempuan ya Dayak Indon. Purih sidaklah menggal pala’ nenek moyang kita dolok marek. Jangan main-main. Berasap lubang kubur sidak kelak, Son.”
            Kata-kata bapak menakannya – Wak Buan – menerjah kembali gegendang telinga. Tegas nadanya.

            Tapi itu semua tidak penting. Fahaman kolot yang masih bergarik pada jalur pandang masyarakat Melayu fikir Mison, harus dikikis. Persoalan pokok yang menunjangi keputusannya hanya satu. Perubahan. Sepatutnya keteguhan semangat mereka perlu dicontohi. Budaya mereka yang mewah dengan kasih sayang, percaya dan cinta sesama insani harus dikongsi dan dipelajari.

            Sampai sekarang Mison masih ingat lagi. Kejadian yang begitu menggugah kemanusiaannya. Dayak Madura tua yang menangis dan meraung tak henti-henti kerana ketinggalan bas untuk balik ke kampung mereka. Lalu datang seorang pemuda Entikong menawarkan dirinya untuk mengejar bas itu. Hatta berlainan suku dan sempadan, semua perbezaan itu langsung tidak bergarik melainkan ketulusan kemanusiaan yang hakiki. Dan bermacam-macam lagi peristiwa lain yang terakam dalam ingatannya – tentang keunikan dan keunggulan Masyarakat Entikong yang tidak pernah dia temui di tanah airnya sendiri.

            Kerana kesungguhan itulah, Mison memberanikan diri untuk bertemu dengan Encik Seleman di Jabatan Pendaftaran Negara. Bersama harapan yang menggunung tinggi; untuk membawa Mak Dewi tinggal bersama-sama dengannya di Kuching.


            “Banyak urusan yang mesti dirik uruskan Son. Kalau urusan di tempat kita, kamek boleh tolong atur. Tapi, urusan di bahagian Kastam Indonesia kamek sik dapat nak tolong.”
Encik Seleman membuka bicara. Mison terdiam sejenak. Lalu bersuara.
“Kalau urusan dengan Kastam Entikong , kamek ada kawan yang boleh tolong. Tapi, bagaimana dengan urusan nikah?”
“Urusan nikah tok pun kamek sik dapat tolong dirik. Kamek boleh tolong dapatkan visa untuk bini dirik kelak. Itu pun mun dirik dah bernikah dengannya. Perkara mustahaknya, dirik mesti bernikah dolok.”

Mison buntu. Kata-kata Encik Seleman sedikit melemahkan semangatnya. Dia jadi bebal untuk memikirkan masalah ini. Mison terbayangkan wajah jernih Mak Dewi – dan anak lelakinya yang masih kecil – menanti dengan selaut harapan. Di sebalik redup sinar matanya Mison dapat merasakan bahang cinta yang membara dan kekar terhadap dirinya serta nur hidayah Islam.

“Abang sik setuju dirik nak bernikah dengan Dayak Entikong ya! Dirik jangan nak bengkeng! Dah tebal telinga abang tok dengar orang kampung bersusei!