21.9.10

CERPEN : TIADA LAGI NYERI DURI-DURI

TIADA LAGI NYERI DURI-DURI 
yusufjalli

Pagi nirmala. Mentari gagah bersinar dengan cahayanya yang memutih. Suasana jalan yang lengang membolehkan Juki memandu dengan tenang. Hari minggu sebegini merupakan waktu yang paling sesuai untuknya berniaga. Berbeza dengan orang lain, waktu cuti inilah masa yang perlu diluangkan untuk bersama-sama dengan ahli keluarga. Terkadang-kadang, dia terkenang-kenangkan juga impiannya dahulu yang ingin menjawat jawatan dalam sektor perkhidmatan awam – menghulurkan khidmat kepada masyarakat. Namun, kesukaran untuk mendapatkan  pekerjaanlah yang memaksanya untuk memilih jalan hidup begini.

Sebetulnya Juki redha dengan ketentuan Tuhan. Bahkan dia yakin bahawa rezeki Allah itu ada di mana-mana sahaja. Dia berpegang teguh dengan prinsip; sesiapa yang gagah dan rajin berusaha, dialah yang akan dapat mengecap nikmat-Nya. Apa yang pasti, kehidupan ini masih panjang dan perlu ditempuh dengan semangat yang kental dan waja. Lebih-lebih lagi, ustaznya dahulu pernah berkata bahawa sembilan persepuluh daripada punca rezeki terdapat dalam bidang ini. 

Pok, DBUK mok molah pbhg jln di sepanjang Jln Sultan Tengah.” 
Juki gusar. Fikirannya sendat dan kusut dengan pelbagai persoalan yang memerlukan jawapan yang pasti. Mesej singkat yang diterimanya awal pagi tadi daripada Puntong benar-benar merungsingkan. Biarpun dia tidak tahu sama ada berita itu benar atau tidak, ura-ura itu sebenarnya sudah kamboh diceritakan oleh rakan-rakannya.  Bahkan di sendiri faham benar akan tindak-tanduk pihak berkuasa tempatan – Dewan Bandaraya Ujung Kota yang sejak akhir-akhir ini ketara mengganggu perniagaan mereka.

 Cuma dia dan beberapa orang kawan mereka yang lain – Angkon, Nek Deng, Pak Dolah dan Wak Buan sahaja yang masih bengkeng. Jika benarlah berita yang diterimanya itu, bermakna perniagaannya akan hancur! Jika perniagaannya tidak dapat diteruskan bermakna periuk nasinya akan tergugat! 


“Astaghfirullah...” Juki merenung ke dada langit sambil melepaskan keluhan yang maha berat dirasakannya. Awan yang bergumpalan dengan tompok-tompok hitam – menyembunyikan mentari pagi yang sebentar tadi gagah, menunjukkan tanda-tanda hujan yang akan turun. Akan tetapi, tasik di sekitar tanah perkuburan Samariang dilihatnya tetap tenang dan indah. Dan di situlah juga tempat yang selalu dijenguknya apabila dia resah dan menghadapi masalah. Namun kali ini keindahan tasik itu sekalipun tidak mampu untuk menenangkan perasaannya yang sedang berperang hebat. 

Masakan tidak, buah durian dan rambutan sekarang sedang galak berbuah. Kalau pada bulan-bulan yang lain, barang niaganya ialah ikan-ikan segar yang biasa diperoleh daripada Abang Bojeng – peraih  ikan yang tinggal di perumahan Bandar Baru Samariang. Kalau tidak pun, selepas solat Subuh Juki akan memecut ladoknya terus ke Kampung Buntal.

Tapi sekarang musim tengkujuh. Musim ikan berkurangan. Kalau adapun harga modalnya mahal dan susah untuk dijual. Lagipun orang lebih suka makan ‘ikan ais’. Satu-satunya barang yang boleh didagangkan hanyalah buah-buahan – durian, rambutan, jagung, asam, langsat, manggis dan buah dabey.
 
Kalau fasal mendapatkan buah durian; Juki sudah kenal benar dengan pemilik-pemiliknya. Sebut sahaja di mana?
“Serian?”
     “Sebuyau atau Simunjan?”
“Lundu?”
     “Pasir Pandak?”
Semua pangkal pokok di situ pernah diperginya.

 
Katakan sahaja jenis buah yang belum pernah Juki jual.  Durian berbulu jarang-jarang berisi tebal? Durian berbulu tajam yang pahit-manis rasanya? Durian berisi kuning atau putih susu? Semua jenis durian ini sudah menjadi mainannya. Lunak atau legik isi durian; ditanam di tepi laut atau darat – kerja mudah bagi Juki untuk mengenal dan memilih jika pelanggannya mahu begitu. Lagipun,  ramai benar pelanggannya yang suka membeli durian dan rambutan yang dijual olehnya.
“Cina?”
“Melayu?”
“Dayak?”
“India?”
Pendek kata, pelanggannya berbilang-bilang bangsa. Ditambah lagi dengan kemanisannya berbicara dengan semua peringkat usia dan sikapnya yang tidak lokek menguntum senyuman. 
  
Namun hatinya kini kembali berkocak. Masalah buah-buah durian yang baru diambilnya dari Simunjan kelmarin belum habis dijual; sudah cukup memberatkan kepalanya. Sekarang ditambah lagi dengan tindakan pihak bandar raya yang sering saja menyerbu tempat mereka berniaga. Waktu pagilah kebiasaannya mereka meronda. Dan pada waktu itu jugalah dia perlu berjaga-jaga. Kecuali pada hari Sabtu dan hari minggu begini. Dia bebas untuk meneruskan perniagaan dengan tenang tanpa gangguan.

Juki teringat sewaktu mula-mula dia ingin menceburkan diri dalam perniagaan ini. Dan orang pertama yang dijumpainya ialah Usu Jemi.
“Aku tak halang kalau kitak nak berdagang Ki. Tapi kitak sendiri pun tau. Besar kecilnya gelombang yang nak ditempuh. Kata orang, kalau kitak takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.”
“Usu, fasal dah biasa dengan ombaklah kamek berani nak menempuhnya. Kalau tak, dah lama kamek minta kerja kuli dengan Cina Kia’. Lagipun kamek dah selalu ikut kitak berjual.”
Juki cuba menyakinkan Usunya.
“Berdagang kecil-kecilan macam ni Ki... kitak sendiri pun tau risikonya. Tambah-tambah lagi berniaga di tepi jalan. Bukan saja hujan ribut yang kena kita lalui, pihak bandar raya sekarang nilah cabaran yang paling besar kepada peniaga-peniaga macam kita.”
Juki bungkam. Perlahan-lahan Usu Jemi menghampir dan mengusap-usap bahu yang kurus melidi miliknya.
“Berniaga ni Ki, umpama bermain dengan duri-duri durian. Walaupun kesakitan yang kita dapat, tapi duri-duri itulah yang tetap kita pegang. Terkadang-kadang, peritnya bukan kepalang apabila sebiji buahnya jatuh menimpa kaki kita sendiri. Walau duri-duri kecil sekalipun, kalau kitak sik tahan dengan rasa nyerinya kitak akan gagal dalam impian besar kitak. Usu yakin... kitak sendiri pun faham pesan Usu sebab kitak orang berpelajaran.” 
Itulah kata-kata terakhir yang didengarinya daripada orang yang paling dia hormat. Usu Jemi – orang lama yang luas dengan pengalaman dan warna-warna hidup. Seingat Juki, kalimat itu didengarinya tiga tahun lepas. Walaupun Pak Sunya sudah tiada, namun kekentalan semangat bapa saudaranya itu masih terus mengalir dan semangat itulah yang menggerakkan seluruh sendi-sendi jasad Juki untuk meneruskan perniagaannya. Namun, dia masih berharap agar matlamatnya yang satu itu bakal terlaksana – impian yang pernah diwicarakan oleh Pak Su Jemi dulu.

Tempias hujan yang menerpa masuk dari celah-celah tingkap ladok yang tidak berkunci mematikan lamunan Juki. Sekilas, bayangan wajah Pak Su Jemi mula hilang dan seakan-akan bertukar menjadi Gunung Santubong yang dihadapnya kini. Sekali lagi dia menancapkan pandangannya pada tasik yang banyak menyimpan rahsia hidupnya sebelum ladok tuanya bergerak menuju ke simpang Bandar Baru Samariang.

*                                              *                                              
Duka citanya dimaklumkan bahawa kawasan ini tidak dibenarkan untuk  berniaga atau apa-apa sahaja urusan jual beli. Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar arahan ini. Terima kasih.
                                                                                    Arahan: DBUK

Juki memandang notis yang ditampal pada pokok besar itu dengan tunak. Tulisan yang bertaip itu dibacanya berulang-ulang kali dengan perasaan yang geram bersulam amarah. Fikirannya yang waras tidak mampu lagi untuk mencerna arahan yang pada anggapannya bakal memusnahkan punca rezekinya.

“Huh... apa nak jadi pun jadilah! Mereka langsung tak tahu palak de aku! Apa mereka ingat mereka saja nak makan? Takkan berniaga di simpang jalan macam ni pun tak boleh? Bukannya mengganggu orang lalu-lalang. Selama aku berniaga di sini, belum pernah ada orang terjun ke dalam longkang berlanggar sesama sendiri.” 

Juki mendengus sendirian tatkala membaca notis yang ditampal di situ lalu mengoyak-ngoyaknya. Tekadnya bulat untuk meneruskan perniagaannya hari itu kerana dia punya ibu tua yang perlu dirawat saban bulan dan adik-beradik yang menuntut di universiti.

Sehingga tengah hari, simpang masuk Bandar Baru Samariang mula dipenuhi pengunjung yang berpusu-pusu untuk membeli buah durian. Di tepi-tepi jalan pula dipenuhi dengan gerai-gerai yang menjual buah durian milik Juki, Angkon, Nek Deng, Wak Buan, dan Pak Dolah. Di kejauhan, buah-buah durian yang disusun indah dan digantung pada payung bulat untuk menarik pelanggan kelihatan seakan-akan berlian besar yang berwarna keemas-emasan setelah dipancar oleh sinaran mentari yang mulai membahang.

Walaupun jualannya hari ini agak memberangsangkan, namun Juki masih gusar.Dia bagaikan dapat merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku. Perkara tersebut sudah diberitahunya kepada Angkon dan sudah mengajaknya untuk pulang sahaja. Hatinya mula dirundung cuak kalau-kalau ‘lori biru bandar raya’ datang menyerbu. Tapi Angkon berkeras untuk terus berjual sehingga ke malam. Juki masak benar dengan palak de Angkon dan tidak berani untuk membantah. Begitu juga dengan Pak Dolah dan Wak Buan – sama bengkeng dengan Nek Deng yang umurnya kurang tiga puluh tahun lebih mencecah seabad.

Keadaan mula lengang dengan kehadiran manusia yang berbagai roman keletah. Dalam kesibukan Juki melayan pelanggan berbangsa India dari Semenanjung memilih buah durian berisi kuning, dia terlihat kelibat tetamu yang tidak diundang. Lantas Juki berlari kencang ke arah gerai milik Angkon dan meninggalkan India seorang itu terpinga-pinga.


Lima orang lelaki berpakaian seragam biru yang Juki kenal benar – keluar dari van yang dinaiki. India yang seorang itu pula bergegas menuju ke arah keretanya ketakutan. Juki bungkam. Lidahnya kelu untuk berkata-kata – hatta untuk mengkhabarkan berita yang tidak perlu untuk dikambohkan lagi. Dilihatnya terdapat angin-angin kesumat pada mata Angkon yang merah bagaikan api yang marak menyala. Tapi, Juki makin bimbang apabila melihat parang panjang yang kemilau dipanah cahaya pada tangan kidal Angkon.

“Hoi, kalau kitak orang berani, mari dekat! Biar aku cincang tubuh kitak orang sampai tinggal tulang!” Angkon meluru ke arah penguat kuasa yang berpakaian seragam biru itu. Mereka yang menyedari bahaya yang bakal dihadapi mula menjarakkan diri daripada tubuh Angkon yang kian menghampir.

“Selama tok, aku sik pernah mengganggu kitak orang. Kamek orang pun bukannya merompak atau mencuri. Kamek orang berusaha mok berniaga. Tapi kali tok aku sik dapat bersabar agik dengan olah kitak semua.” 

Sejurus selepas Angkon melepaskan api kemarahannya yang meluap-luap, dia pantas menerpa ke arah salah seorang daripada penguat kuasa itu. Juki dan rakan-rakannya yang lain bagaikan terpaku melihat olah Angkon yang bagaikan kerasukan sombok. Mereka mula meluru mendapatkan Angkon dan merengkuh tangannya yang berparang apabila melihat darah merah pekat membasahi baju seragam penguat kuasa itu.

Juki masih kelu seribu bahasa. Matanya terkebil-kebil memandang dua buah kereta polis yang membawa Angkon dan sebuah ambulans yang tergesa-gesa membawa anggota penguat kuasa yang cedera parah.

*                                              *                                              

“Pihak kami sememangnya amat prihatin terhadap permasalahan yang sedang berlaku sekarang. Dan inilah antara tujuan perjumpaan ini diadakan pada hari ini. Tetapi kami berasa amat duka cita berkenaan insiden yang telah berlaku pada minggu lepas.”

Juki memandang tepat ke dalam anak mata tiga orang pegawai DBUK yang hadir sama pada perjumpaan khas yang berlangsung di Dewan Suarah Kuching. Jantungnya berdegup kencang apabila pegawai bermisai tebal itu menyebut-nyebut tentang insiden yang telah menyebabkan sahabatnya – Angkon, ditahan di lokap.

“Oleh itu kami telah sepakat untuk mengumpulkan anda semua di satu tapak niaga baru iaitu di Sukma Ria. Dengan ini, kami berharap agar saudara-saudara tidak lagi ...”

“Tuan pegawai, walau permit niaga yang termurah sekalipun diberi, kami semua tidak bersetuju sama sekali untuk berniaga di sana! Semua orang tahu yang tempat itu langsung tidak strategik! Siapa yang nak berbeli di sana nanti?” Juki bingkas bangun untuk membantah keputusan yang difikirkannya tidak berasas langsung.

“Kalaulah tuan berada di tempat kami, sudah tentu tuan sendiri tahu rasanya berniaga di tempat yang sunyi sepi.” Nek Deng pula bangun menokok bicara Juki yang mula menghangatkan suasana. Usu Ali Bontok yang sejak tadi berdiam diri pun bangun menyokong pendapat Nek Deng sambil menepuk-nepuk meja.

“Kami semua rasa sangat menyesal! Menyesal sebab sentiasa mengundi dan menyokong kerajaan! Tapi kemudahan yang diharapkan langsung tidak ada untuk peniaga-peniaga macam kami!”

 “Bertenang semua. Baiklah. Baiklah saudara semua. Apa-apa pun, kami perlu berbincang dengan pegawai atasan kami berkenaan usul ini. Tetapi, buat masa sekarang tidak ada seorang pun dibenarkan berniaga selagi belum mendapat keputusan dan arahan daripada pihak kami.”

Kalimat terakhir yang meluncur keluar daripada pegawai yang bermisai tebal itu benar-benar mengecewakan Juki. Seorang demi seorang mula bergegas keluar dari bilik mesyuarat itu dengan hati yang berbaur.

        *                           *
                                              
Angkon telah dibenarkan keluar pada hari ini. Dia telah dibebaskan setelah pihak DBUK menarik balik keputusan mereka. Juki benar-benar bersyukur kepada Tuhan kerana sahabatnya itu tidak dipenjarakan terus. Semuanya kerana pertolongan Abang Sihin – Ketua Polis Kuching yang telah banyak membantunya memujuk pegawai atasan DBUK untuk menarik balik fail saman yang dikemukakan. Kalaulah tidak kerana Abang Sihin, sudah tentu Angkon kini sudah merengkok di dalam penjara.
Tetapi, kesyukuran Juki bukan saja kerana sahabatnya telah dibebaskan. Malah kawan-kawannya sudah boleh berniaga lagi di simpang Bandar Baru Samariang. Termasuk dirinya sendiri – sudah memiliki permit niaga yang sah dengan bayaran RM10 semalam. Menurut pihak DBUK lagi, tempat itu akan dibina tapak niaga yang luas dan bersimen. Juki pasti, Angkon tentu berasa girang apabila mengetahui perkara itu nanti.

Juki mula sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku ada hikmah yang dikurniakan oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Tegal peristiwa itulah perniagaannya dan rakan-rakan masih boleh diteruskan malah sudah boleh berpermit. 

Akan tetapi, ada satu lagi perkara yang amat menggembirakan hatinya sendiri. Permohonannya dua tahun dahulu untuk menyertai projek Usahawan Tani Kerajaan telah pun diluluskan. Tiga bulan lagi, dia akan memulakan projek tersebut yang mendapat pinjaman penuh daripada Bank Pertanian Malaysia, setelah segala urusan selesai. Ladang seluas 100 ekar di atas tanah pusakanya di Kampung Mang nanti akan ditanam buah-buahan tempatan untuk dipasarkan di dalam dan luar negeri.

Juki sudah boleh membayangkan kehidupan yang lebik baik bakal dikecapinya kelak. Dan ladok tuanya yang sedang berhenti di tepi tasik tanah perkuburan ini akan digantikan dengan kereta baru yang lebih besar untuk dia terus berniaga. Harapannya setinggi gunung Santubong – lakaran roman manusia yang sentiasa mengingatkannya dengan Usu Jemi. Setinggi harapan insan yang dulu menginginkannya supaya mengusahakan sektor ini secara komersil dan menjadi usahawan Melayu yang berjaya.

Kini iltizamnya sudah memuncak. Dia akan mengusahakan kerjaya barunya dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa culas. Baginya, dia amat bersyukur dengan kesakitan yang dikurniakan kerana dia bisa mencerna segala perit yang dimamahnya dulu menjadi keping-keping ketabahan. Lewat pandangannya pada tasik di Tanah Perkuburan Semariang dihadiahi sekuntum senyuman kerana baginya, tiada lagi nyeri duri-duri yang perlu dirasainya.
           
 
Glosari
ladok –jenis kereta lama (panggilan ini popular dalam kalangan penduduk Semariang)
pok – panggilan mesra bagi menggantikan nama seseorang
mok (maok) – mahu 
molah – membina atau membuat
kamboh - heboh
palak de pantang dicabar/berani/keras hati
bengkeng - degil
dabey – buah dabai
lunak – sepu/padat isinya
legik – kurang berisi
sombok- hantu/jembalang
kitak - kamu
kamek - saya
kitak orang – kamu semua
kamek orang – kami semua
 
olah – tingkah laku
agik - lagi
sik - tidak
tok - ini








Disiarkan dalam Jendela Sarawak Bil. 20, Disember 2006







1 ulasan: