yusufjalli
5.4.14
2.1.12
EKOR DISEMBER DAN MUARA JANUARI DUA-RIBU-DUABELAS
Tika ekor Disember yang begitu menggugah, aku mula sedar bahawasanya pendakian menjadi insan begitu berliku. Tidak semudah membilang dan mengeja aksara kata. Meniti dewasa serasa membina batu-bata ke langit senja - jagat dunia yang kadangkala kejam dengan isi manusianya. Untuk itu, maafkan aku jika terlalu prejudis.
Dua-ribu-sebelas begitu lelah mencorakkan warna sejarah hidup. Iya, kisah orang tua yang dulunya begitu dekat dan mesra memahat kenangan; lalu kini sudah tiada - pergi meninggalkan dunia yang fana. Dari menjadi siswa Tahun Pertama yang mentah dengan rencah gelora alam kampus hingga mulai dewasa meredah denai ilmu dengan cahaya pengalaman khusus.
Segalanya mengajar dengan sabar tiap-tiap bentuk tindakan dan gerak fikir minda.Dan itu yang benar. Aku perlu jadi diri aku yang sejati. Belajar menilai manusia dan masyarakat yang bergelut malah sering saja bergolak.
Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10
Bahasa Melayu di Menara Gading - penghinaan dan tamparan
Pilihan Raya Kampus
Festival Seni Universiti Malaya
Festival Seni Universiti Malaya
(sekadar mencatat limpahan isu penting yang menggugah dunia kampusku...)
Menjadi dewasa pula aku perlu lebih gagah. Tekun usaha dan murni sahsiah.Itu impianku selayaknya seorang muslimin.
Sejujurnya, aku semakin jauh daripada keluarga. Terutamanya emak. Yang melahir dan membesarkan aku sehingga berakal. Benar. Aku mula menjadi pengembara sejak memasuki alam remaja. Bersekolah di empat buah sekolah menengah yang berbeza; sekolah agama, SBP (SM SAINS), Teknik dan sekolah biasa di Tingkatan 6. Tiga daripadanya asrama. Waktu awal remaja semuda 13 tahun itu jugalah krisis keluarga melanda; memaksa aku tinggal bersama bapak. Aku terdidik mentafsir manusia sekeliling dengan faham dan fikirku sendiri - juga dengan panduan beliau. Namun aku masih bebas untuk memilih. Sayangnya, hayat bapak yang mulai mesra aku dampingi sebagai teman rapat sekadar bertahan selama 2 tahun sebelum dia pergi selama-lamanya - ketika takbir minggu pertama Syawal masih lagi basah dilidah umat Islam. Sejak itu, aku makin jauh; dan jauh berkelana justeru hanya punyai teman-teman dan sahabat yang begitu memahami. Di situ aku belajar merangkak, berjalan,kadang-kala berlari, jatuh dan kemudiannya bangun semula bagi membuktikan aku juga hebat seperti anak-anak lain. Dan dua-ribu-sepuluh aku mula terbang memburu cita-cita dan impian. Iya. Tapi perjuangan baru saja bermula.
Dua-ribu-sebelas ini juga detik bermakna; kurang-kurang lakaran kenangan antara aku dan mak. Pusing-pusing kota Kuching hingga lewat senja masa cuti semester panjang 4 bulan. Untuk itu aku bahagia; setelah mampu saksikan dia gembira dan ketawa lagi - sama seperti waktu Mak Tua masih ada. Dan wajahnya sedikit sayu tatkala menjamah Seafood mewah di restoran ternama di Kuching. Seolah-olah mak menangis. Namun bukan seperti tangisan sewaktu berpisah dengan bapak. Jujurnya, aku juga menangis, (sama seperti tangisan aku saat pertama kali terbaca surat talak mak di bawah lipatan kain batik suatu ketika dahulu.) Dan hari itu juga, dendamku mula lebur bersama kasih sayang mak yang tak pernah luntur.
Menyusur muara Januari di hilir dua-ribu-duabelas ini, untuk mak, moga Allah lanjutkan usia; kurang-kurang hingga aku benar-benar jadi manusia - boleh hantar mak ke Tanah Suci - mampu berbakti kepada agama, masyarakat dan negara.
Nota buat teman: Onak dan duri yang kita lalui, tak pernah serupa. Namun sama susur denainya; selagi kita terus gagah, selagi itu kita mampu tersenyum megah.
30.12.11
Analisis 12 Jam Rancangan Televisyen Swasta (TV3): Memahami Model Teks Simbolik – Refleksi Budaya Masyarakat Melayu
1.
Pendahuluan
Masyarakat
kita mutakhir ini sebenarnya memasuki lingkungan budaya baharu yang semakin
mencabar. Teknologi yang ada khususnya tanpa sedar mulai mengintegrasikan
masyarakat kita dengan lingkungan budaya global – wilayah dunia tanpa sempadan
yang menggugah. Menekuni model teks simbolik sebagai satu bentuk perubahan,
kita wajar untuk menyuarakan; apakah bentuk perubahan yang diingini? Justeru,
kita akan telusuri secara tuntas konsep model teks simbolik ini.
Model
teks simbolik difahami sebagai agen perubahan budaya (juga ekonomi dan sosial)
untuk menyampaikan makna melalui budaya simbol kepada masyarakat. Namun begitu,
perlu disedari bahawa tidak semua teks dan simbol yang dihasilkan memaparkan
makna budaya sama ada pengkarya mahupun masyarakat secara tepat dan khusus. Hal
ini disebabkan simbol yang digunakan itu mempunyai tafsiran yang rencam –
tertakluk kepada masyarakat yang menerima – namun, matlamat akhirnya cenderung
untuk mendorong kepada perubahan tingkah laku bagi sebahagian masyarakat.
Begitu juga dengan usaha untuk kelestarian identiti yang dapat dikelompokkan
dalam bentuk pemikiran bersifat ideology.
(Karl Mannheim: 1991).
Dalam
menghasilkan analisis ini, penulis memilih untuk membedah secara khusus
rancangan televisyen swasta (TV3) bertarikh 13 Disember 2011 yang bersiaran
secara langsung selama dua belas jam sebagai bahan utama dalam kajian ini.
Kupasan yang dibuat akan cuba memahami secara tuntas signifikan rancangan yang
dipilih terhadap khalayak sebagai refleksi budaya masyarakat Melayu sebagai
ranah yang wajar untuk menjadi penanda aras dalam membentuk masyarakat yang
berjati diri dan beridentiti.
2.
Analisis
Bahan Kajian
Sebanyak
24 rancangan telah dijadikan sebagai bahan dalam kajian ini. Namun begitu,
untuk memudahkan proses menganalisis;
kesemua program rancangan telah dikelaskan dalam kategori yang tertentu.
Senarainya adalah seperti berikut.
a)
Berita dan Informasi
i.
Berita Terkini (9.00am)
ii.
Berita Terkini (10.00am)
iii.
Bizworld (11.00am)
iv.
Berita Terkini (12.00pm)
v.
Buletin 1:30 (1.30pm)
vi.
Berita Terkini (4.00pm)
vii.
Bizworld (5.30pm)
viii.
Buletin Utama (8.00pm)
Sepanjang dua belas jam saluran TV3
bersiaran, penonton dihidangkan dengan enam kali berita terkini (berdurasi selama dua minit) yang berbentuk
informasi semasa termasuk dua kali berita berbahasa Inggeris berkaitan dunia
perniagaan (dalam dan luar negara) iaitu rancangan Bizworld jam 11.00 pagi dan 5.30 petang.
Seterusnya, liputan separuh hari pula
dibuat menerusi Buletin 1.30 pada jam
1.30 petang. Durasi selama setengah jam itu memaparkan isu-isu dan berita
mutakhir dan ehwal masyarakat setempat.
Rangkuman keseluruhan berita disalurkan
menerusi rancangan Buletin Utama yang
disiarkan pada waktu kemuncak/perdana seputar hal ehwal politik, ekonomi luar
dan dalam negara, sosial masyarakat, sukan, hiburan serta cuaca. Namun begitu,
kewujudan ruang iklan juga sebenarnya agak mengganggu tumpuan penonton untuk
mengikuti berita berdurasi sejam itu dengan lebih berfokus.
b)
Hiburan
Kanak-kanak
i.
TV3 Kids School Break Special - Barbie Mariposa and Her Butterfly Fairy
Friends (09.05am)
ii.
TV3 Kids School Break Special (10.02am)
iii.
Senda Pagi: Kem'Pink' (11.02am)
iv.
Detective Conan (06.30pm)
Bersempena dengan musim cuti sekolah
yang masih berlangsung, TV3 turut menyediakan slot/rancangan khas berbentuk
hiburan ringan kepada kanak-kanak.
Detective Conan
Empat buah rancangan telah dikenal
pasti; namun, salah satu daripadanya iaitu Detective
Conan merupakan rancangan kartun bersiri berbentuk penyiasatan yang
disiarkan secara tetap setiap hari Isnin hingga Khamis. Detective Conan diadaptasi daripada sebuah komik popular Jepun yang
berkisar tentang kehebatan seorang penyiasat muda (Shinichi Kudo) yang telah diracun
oleh sekumpulan penjahat. Namun demikian, racun tersebut gagal membunuh beliau,
tetapi mengecutkan badannya menjadi kanak-kanak sekolah rendah. Watak Conan
Edogawa diolah sebagai kanak-kanak superior
yang cukup bijak dalam membantu menyelesaikan pelbagai kes-kes jenayah
terutamanya pembunuhan yang rumit. Walaupun identitinya masih lagi dirahsiakan,
namun dengan adanya bantuan daripada Profesor Agasa, Conan mampu membantu
Detektif Mauri dengan baik tanpa dicurigai. Drama ini dialih bahasa kepada
bahasa Melayu secara keseluruhannya.
TV3 Kids School Break Special - Barbie Mariposa and Her Butterfly Fairy
Friends
Filem animasi fantasi bertajuk Barbie Mariposa and Her Butterfly Fairy
Friends pula merupakan sebuah rancangan khas untuk kanak-kanak menikmati
cuti sekolah mereka. Animasi ini menceritakan kisah pengembaraan rama-rama
berbangsa pari-pari bernama Mariposa gemar membaca dan mempunyai impian untuk
mencapai bintang di luar dunia mereka.
Namun begitu, Mariposa kuirang
berkeyakinan untuk berhadapan dengan masyarakatnya. Cabaran pari-pari cilik ini
bermula apabila dia ditugaskan untuk mencari penawar bagi permaisuri mereka
yang diracuni oleh pari-pari jahat bernama Henna. Mariposa akhirnya berjaya
mendapatkan penawar tersebut setelah menghadapi segala rintangan dan halangan
berbekalkan kecekalan serta keyakinannya yang tinggi.
Senda Pagi: Kem ‘Pink’
Slot Senda Pagi menampilkan
figura kanak-kanak yang prolifik dalam bidang lakonan iaitu adik Famie Don
menerusi Drama kanak-kanak berjudul Kem
Pink. Drama ini disiarkan secara bersiri setiap hari Selasa dan Rabu setiap
minggu juga membariskan pelakon-pelakon popular tanah air seperti Ezany, Rozita
Che Wan, Norman Hakim dan ramai lagi.
Menceritakan secara santai seputar
gelagat anak-anak untuk menghadiri kem motivasi sewaktu musim cuti sekolah, Kem Pink juga memaparkan watak
kanak-kanak berperwatakan lembut dan nakal yang dilatih untuk berdisiplin,
berani dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi.
c)
Bual
Bicara
i.
Wanita Hari Ini (12.02pm)
ii.
Inspirasi Pesona (05.35pm)
iii.
Melodi Terhangat (06.02pm)
iv.
Fuhh! (11.05pm)
Wanita
Hari Ini
Program bual
bicara yang mengupas isu dan hal-ehwal wanita semasa secara khusus pula disiarkan
dalam Wanita Hari Ini yang bersiaran secara langsung setiap hari Isnin
hingga Jumaat pada jam 12.00 tengah hari hingga jam 1.00 petang. Rancangan yang
dihoskan oleh pengacara popular Rina dan Teh Syuhada ini juga memfokuskan
kepada isu kewanitaan, kanak-kanak dan keluarga. Setiap hari, satu topik akan
dipilih dan dikupas bersama oleh tetamu undangan selain persembahan secara live oleh artis jemputan. Interaksi dua
hala bersama penonton di rumah juga dilakukan secara panggilan dalam talian.
Inspirasi
Pesona
Manakala
rancangan Inspirasi Pesona pula slot khas yang memberikan
kupasan menyeluruh berkenaan berkaitan dengan penjagaan kesihatan termasuklah
kecantikan, penjagaan kulit, penjagaan rambut pelangsingan badan dan banyak
lagi info berkaitan. Rancangan berdurasi selama setengah jam ini mengetengahkan
pakar yang berkaitan dengan topik perbincangan seputar tips berguna, informasi dan teknik dalam
menghadapi permaslahan tersebut.
Seterusnya,
bual bicara berkaitan dunia selebriti Malaysia pula dipaparkan menerusi dua
rancangan iaitu Melodi Terhangat dan Fuhh! yang mengetengahkan konsep yang hampir sama.
Melodi
Terhangat dan Fuhh!
Melodi Terhangat merupakan
siaran ulangan pilihan sepanjang tahun 2011 berdasarkan rancangan Melodi asal yang dihoskan oleh pelawak
popular Zizan Raja Lawak, Wahid Senario dan Dira Abu Bakar dan disiarkan pada setiap
hari Selasa jam 6.00 petang hingga 7.00 petang. Rancangan berbentuk hiburan ini menawarkan
perkembangan berkaitan artis, pelakon, pengarah dan selebriti selain turut
menyajikan ulasan album terbaru, majlis berkaitan artis, gosip terbaru,
temuramah bersama artis, carta filem dan juga sedikit kontroversi yang
menyelubungi dunia artis tanah air.
Pengacara sensasi – Awal Ashaari – menerusi rancangan Fuhh!, beliau memberi sedikit kelainan
dengan mengupas fesyen-fesyen terkini berkaitan artis tanah air, gosip panas
artis, paparazzi dan juga cuba untuk menyelongkar keperibadiaan artis seperti
beg tangan, kereta, rumah dan sebagainya menerusi segmen ‘selongkar’. Rancangan
yang bersiaran secara langsung ini juga dilihat masih menggunakan konsep yang
sama tanpa banyak persamaan dengan Melodi
kerana masih berlingkar dengan ehwal kehidupan artis sendiri.
d)
Drama
dan Filem
i.
Dramasuria: Suraya (01.11pm)
ii.
Sinetron: Putri Yang Ditukar (02.00pm)
iii.
Telenovela - Bella Calamidades (03.00pm)
iv.
Jom Relaks - Anak Semangka dan Penyihir Jahat
(04.02pm)
v.
Akasia: Tentang Dhia (07.00pm)
vi.
Lestary: Cinta Elysa (09.00pm)
vii.
Samarinda: Bunga April (10.30pm)
Lambakan
drama luar dan tempatan pula membanjiri saluran televisyen perdana seperti TV3
dengan tujuh buah drama bersiri tersebut dikenal pasti telah disiarkan
sepanjang tempoh kajian selama 12 jam. Empat buah daripadanya adalah drama
tempatan, dua pula drama Indonesia dan satu daripadanya merupakan telenovela
Sepanyol.
Dramasuria:
Suraya
Slot
Dramasuria menampilkan drama Suraya episod ke-15 yang disiarkan
setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 1.11 petang hingga jam 1.30 petang.
Episod berdurasi selama setengah jam kali ini memaparkan Suraya dan Steve
sedang membuat persiapan bagi perkahwinan mereka yang akan berlangsung. Namun,
dalam kegembiraan tersebut Suraya pula menghadapi tekanan dengan kehadiran
keluarga Mei Lee dari Hong Kong yang menuntut agar Suraya kembali ke Chian
untuk melayakkan Suraya mendapat harta dan wasiat keturunan keluarga Lee. Pertelagahan
antara Suraya dan tunangnya, Steve mula tercetus apabila kedua-duanya melihat
perkara ini dari sudut yang berbeza; Steve melihat kehadiran Mei Lee sebagai
peluang keemasan, sebaliknya Suria pula memandang perkara tersebut menuntut
komitmen dan ikatan yang besar.
Sinetron:
Puteri yang Ditukar
Slot
Sinetron pula memaparkan kisah
pergolakan dan dendam kesumat antara keluarga menerusi drama bersiri panjang Puteri yang Ditukar yang
disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 2.00 petang. Episod ke-45
berkisar tentang insiden Amira menjadi pemandu sementara kepada Rizky yang
hampir melanggar kereta yang dipandu oleh Miesya, anak tiri kepada bapa kandung
Amira iaitu Prabu. Konflik berterusan berlaku apabila Miesya yang masih dalam
keadaan marah hampir melanggar Pak Wisnu ketika dia sedang melintas jalan. Pak
Wisnu yang marah dengan tindakan Meisya cuba untuk memaksanya keluar dari
kenderaan yang dipandu. Pergelutan berlaku antara Pak Wisnu dan sekumpulan
lelaki tersebut namun kehadiran Arman berjaya menyelamatkan beliau daripada
dibelasah dengan teruk.
Episod
ini juga memperlihatkan kemelut emosi yang dialami oleh Pak Wisnu dan Pak Prabu
apabila mereka masih menyembunyikan identiti sebenar mereka kepada kedua-dua
orang anak kandung mereka iaitu Arman dan
Amira semata-mata ingin memastikan dendam kesumat dan impian mereka
tercapai. Di akhir episod ini, Amira ditemukan dengan Pak Ihsan, ayah kandung kepada Zahira yang
dikatakan mati oleh ibunya yang sedang pengsan kerana melarikan diri daripada
Pak Prabu.
Telenovela:
Bella Calamidades
Telenovela
Bella Calamidades merupakan sebuah drama bersiri berbahasa Sepanyol yang
sarat dengan emosi dan konflik antara watak utamanya dengan kepercayaan karut-marut
masyarakat sekelilingnya. Pergolakan hidup gadis cantik bernasib malang bernama
Lola ini bermula apabila dia kehilangan kedua ibu bapanya sejak kecil dan
dibesarkan oleh makciknya yang kejam. Sehingga Lola meningkat dewasa menjadi
gadis, beliau berharap agar dapat bertemu dengan cinta sejatinya sekaligus
mempercayai bahawa dia bukanlah penyebab kepada segala kecelakaan yang berlaku.
Dalam
episod ke-75 ini, Lola hampir dirogol oleh seorang banduan yang baru sahaja
keluar daripada penjara. Banduan tersebut menuduhnya sebagai wanita pembawa
semangat roh jahat dari kubur dan menggangu orang lain. Namun, kehadiran
Marcelo akhirnya menyelamatkannya daripada dirogol. Marcelo cuba untuk
meyakinkan Lola bahawa dakwaan banduan tersebut tak berasas dan tidak akan
dipercayai orang. Namun begitu, sepupu kepada Marcelo iaitu Priscila dan Silvana
turut menyimpan perasaan yang sama terhadap beliau dan berusaha keras untuk
menyingkirkan Lola daripada keluarga mereka.
Jom
Relaks: Anak Semangka dan Penyihir Jahat
Menonton
drama dongeng Anak Semangka dan Penyihir
Jahat dari seberang dalam slot Jom
Relaks membawa khalayak ke alam fantasi masyarakat tradisi dahulu kala yang
kaya dengan kisah pengembaraan watak purba yang penuh dengan kesaktian.
Perjalanan
cerita dimulai dengan watak Murni, anak tunggal kepada seorang pasangan petani
yang begitu mengingini seorang saudara. Dengan kuasa Tuhan, keajaiban berlaku
apabila sebiji semangka (tembikai) sakti telah bergolek ke rumah mereka lalu
muncullah seorang putera dari kayangan yang keluar daripada tembikai tersebut.
Murni amat gembira dengan hadiah tersebut dan tidak kesunyian lagi.
Konflik
cerita bermula apabila seorang tukang sihir yang jahat selalu mengganggu
penduduk kampung tersebut dan menculik Murni. Pengembaraan Putera Semangka
bermula apabila dia pergi untuk menyelamatkan adik kesayangannya, Murni yang
berada di Pulau Sihir. Pengembaraan Putera Semangka semakin mencabar dan
berliku sehinggalah beliau berjumpa dengan manusia Kesempurnaan, Onyit (Raja
Monyet) dan Oni (Raja Ular) serta dihadiahi sepasang sepatu sakti, cermin sakti
dan permaidani terbang. Berkat kesabaran dan kecekalan Putera Semangka
menempuhi segala rintangan dan dugaan, Murni terselamat dan tukang sihir yang jahat itu berjaya
dikalahkan.
Akasia:
Tentang Dhia
Drama
Tentang Dhia yang bersiaran secara langsung setiap hari Isnin hingga Khamis
disiarkan pada jam 7.00 malam. Drama berbentuk konflik kekeluargaan dalam Slot Akasia
yang berdurasi selama sejam ini bergerak dalam plot cerita yang rumit akan
tetapi bergelut sepenuhnya kepada dilema yang dihadapi oleh watak utama iaitu
Dhia.
Dalam
episod ke-20 ini, Zikir bertindak membawa ibu mertuanya, Mak Esah yang masih
sakit untuk tinggal bersama namun tidak begitu disenangi oleh Ku Salmi (ibu
Zikir) kerana bimbang akan Mak Esah sembuh dan membocorkan segala rahsia
kejahatan yang telah dibuat oleh Ku Salmi dan Pak Boon. Perkara tersebut
diadukan kepada Pak Boon tetapi Pak
Boon melihat bahawa perkara tersebut
akan memudahkan lagi usaha mereka untuk menyihir Mak Esah.
Tanpa
diduga, Melly yang sarat mengandung masih menyembunyikan diri daripada Raffi
dan menyamar dengan mengenakan purdah di sebuah flat murah. Perlakuan Melly
yang mencurigakan menjadi buah mulut jiran-jiran dan menuduhnya berzina.
Insiden
Mak Esah menegah Dhia daripada memakan nenas muda di hadapan Ku Salmi telah
menimbulkan konflik antara mereka sekeluarga. Kejutan berlaku apabila Dhia
telah disahkan mengandung oleh doktor. Namun demikian, konflik semakin
berpanjangan apabila Zikir syak bahawa ibunya sengaja membeli nenas muda yang
banyak untuk menggugurkan kandungan Dhia yang baru berusia dua minggu. Hal ini
disebabkan Ku Salmi selama ini tidak pernah membuat kuih mahupun biskut dan
mengesahkan lagi sangkaan Zikir tersebut. Perbualan telefon antara Ku Salmi dan
Pak Boon didengari oleh Mak Esah.
Kisah
Melly yang masih bersembunyi semakin mendebarkan apabila dia berjumpa dengan
kumpulan pengedar dadah yang masih memburunya di sebuah restoran. Identiti
Melly semakin meruncing apabila dompetnya telah dicuri oleh salah seorang
daripada ahli kumpulan tersebut.
Lestary:
Cinta Elysa (Episod Akhir)
Ibu
Elysa telah diugut untuk menyerahkan sejumlah wang yang banyak kepada Rasyid
dan menghantarnya ke lapangan terbang. Dalam masa yang sama, kehadiran Haikal
dan ibunya ke rumah Elysa begitu mengejutkan. Rupa-rupanya perkahwinan Elysa
sudah diaturkan oleh ibunya sendiri tanpa pengetahuan Elysa sebaik sahaja dia
mengambil alih kedudukan arwah bapanya sebagai peneraju syarikat.
Aril
yang mengetahui perkara tersebut begitu merindui Elysa. Namun demikian, Elysa
kembali kepada Aril untuk mendapatkan haknya sebagai isteri yang sah.
Kepulangan Elysa menghadirkan dilema dalam diri Aril kerana dia beranggapan
bahawa kehadiran isterinya itu adalah untuk menuntut cerai; meskipun kasih
sayangnya buat Elysa tak pernah luntur. Setelah Elysa berterus terang tentang
penculikan yang telah berlaku, Aril bersetuju untuk pulang ke rumah Elysa
sekaligus membatalkan perkahwinan yang telah diaturkan bersama dengan Haikal.
Penangkapan Rasyid sebagai penjenayah dan dalang utama dalam pembunuhan Datuk Jasman (ayah Elysa)
akhirnya telah membuktikan bahawa Aril merupakan seorang yang baik dan
benar-benar layak untuk menjadi suami kepada Elysa.
Samarinda:
Bunga April
Slot
terakhir untuk drama Melayu berjudul Bunga
April dikenali sebagai Slot Samarinda. Dalam durasi yang agak
singkat (10.30 malam hingga 11.00 malam), Bunga
April menyingkap kehidupan gah dunia
korporat menerusi kewujudan Wangsa Holding dan syarikat seterunya.
Episod
ke-10 dalam drama bersiri ini berlingkar dalam plot cerita yang mulai
berkembang dengan paparan watak Johar dan ibunya bercerita tentang hasrat Azman
yang bakal bertunang dengan anak kepada kawan lama bapanyanya iaitu Sophian.
Bibit-bibit konflik mula tercetus apabila Azman datang ke pejabat Sophian
(bakal bapa mertuanya) dan mempersoalkan motif rancangan Sophian terhadap
perkahwinan yang diaturkan. Azman
mengugut untuk menceraikan Ain Nadirah (April) jika bapanya, Tan Sri Azmi terus
diganggu selepas perkahwinan itu berlangsung. Pada masa yang sama, Mimi (isteri
muda Sophian) merupakan bekas kekasih Azman dan dalang kepada kejatuhan Media
Corp.
Tan
Sri Azmi mengambil keputusan untuk mempercepatkan majlis pertunangan dan
perkahwinan Azman kerana kesihatan isteri pertamanya (Hamidah) yang semakin
tenat. Azman bersetuju dengan keputusan tersebut demi masa depan keluarga dan
ibu kandungnya sendiri. Johar juga nekad untuk meluahkan perasaannya kepada
April sebelum pemergiannya ke Dubai. Dalam masa yang sama, gadis yang dicintai
oleh Johar itu (April) mula menghadirkan cinta pandang pertama buat Azman tanpa
pengetahuan kedua-dua adik beradik ini.
e)
Sitkom
(Situasi Komedi)
i.
Senario Misteri Bamboo (10.00pm)
Sitkom
atau situation comedy rancangan Senario: Misteri Bamboo disiarkan setiap
hari Selasa pada jam 10 malam. Sitkom ini menampilkan kumpulan pelawak tersohor
tanah air, Senario dan barisan pelawak lain seperti Saiful Apek, Sharifah
Shahirah, Ebby Yus, Achong Sweetchild, Bell Ngasri, Ayu Raudah, Yassin dan Kaza
dalam 13 episod.
Episod
ke-2 ini berkisar tentang kejadian kecurian yang berlaku di tiga buah rumah di
kampung mereka. Berita yang menggemparkan itu telah menggusarkan dua orang
pemuda kampung iaitu Pian dan Saat. Mereka bimbang kerana dituduh melakukan
kerja jenayah tersebut oleh Kassim dan Salleh. Begitu juga dengan Kak Nab yang
seakan-akan syak dengan perlakuan mereka berdua yang mencurigakan. Akan tetapi, sebenarnya mereka hanya
terlibat mencuri buah kelapa dan kelapa sawit milik orang kampung untuk
mendapatkan wang. Akhirnya, Pian, Saat dan Kak Nab berjumpa dengan Wak Dol
untuk mendapatkan kepastian berkenaan pencuri yang sebenar dengan menggunakan
kepakaran beliau menilik melalui mangkuk.
3.
Drama
TV Mutakhir: Refleksi Roman Masyarakat?


Kita
mengakui bahawa drama televisyen (juga filem; dalam cakupan yang luas) ini
mempunyai pengaruh yang kuat dalam membentuk pemikiran bangsa. S.M. Zakir
(2010) menjelaskan;
“Industri budaya ini mengakui bahawa mereka
memenuhi keperluan pengguna
untuk berhibur, tetapi pada hakikatnya mereka memanipulasikan pengguna untuk mengkehendaki apa yang
mereka keluarkan.”

Bagi
merincikan kritikan seputar persoalan refleksi roman masyarakat ini, penulis
menggalurkan beberapa capahan pandangan kepada pecahan berikut.
a)
Refleksi
Sosiologi Masyarakat Melayu
Gambaran
berkenaan manusia individu dan masyarakat Melayu di layar/pentas lakonan penuh
dengan kepalsuan yang rancu. Individu Melayu dalam drama dihadirkan sebagai
watak manusia yang hebat-hebat belaka; hidup dalam singgahsana mahligai, menikmati
kemegahan jagat korporat, elitis dan dilingkari pangkat serta darjat yang
tinggi oleh pendukung (watak sampingan) cerita.
Ironisnya,
akan wujud watak manusia Melayu yang begitu kontra dengan segala keindahan dan
kemahsyuran seperti digambarkan dalam drama kajian penulis seperti drama Suraya, Tentang Dhia, Cinta Elysa dan Bunga April.
Walaupun
kebenaran ini agak pahit untuk diterima, namun pemencilan watak masyarakat
marhaen sebagai entiti utama dalam sistem sosial masyarakat seolah-olah mengkhayalkan
khalayak ke ruang fantasia baharu yang tidak wujud dalam dunia reality. Penulis
berpandangan bahawa drama-drama Melayu mutakhir ini menjadi madat baharu untuk membantu masyarakat melupakan segala
persoalan yang lebih utama berkaitan
permasalahan sosial yang lebih meruncing seperti buang bayi, jenayah, rogol,
penindasan dan kenaikan kos sara hidup yang semakin mencengkam.

Hakikat
sebenar yang wujud amat kontra dengan dunia nyata masyarakat Melayu kerana
ekonomi kapitalis di Malaysia masih lagi dikawal oleh bangsa lain. Justeru,
citra apakah yang cuba diangkat dalam drama-drama Melayu mutakhir ini?
b)
Refleksi
Psikologi/Jiwa Masyarakat Melayu
Jaluran
plot cerita dalam drama-drama Melayu masih lagi berlingkar dalam ruang
keterhakisan nilai-nilai psikologi masyarakat sebagai penggerak jalinan
perkembangan plot. Watak bergelut dengan peperangan terhadap persoalan jiwa
yang rumit akibat diruntun perasaan yang bergelodak.
Dari
perspektif penulis, drama-drama Melayu (hatta filem Melayu sendiri) gagal
mengangkat persoalan psikologi masyarakatnya secara serius dan menyeluruh.
Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui deretan drama seperti Tentang Dhia, Bunga April, Puteri yang Ditukar dan Cinta Elysa yang
mengheret khalayak penonton kepada gelodak jiwa-dendam-kesumat yang tak
berkesudahan antara watak-watak yang dijelmakan. Baik watak ibu mertua yang
sinonim dengan niat jahat mereka untuk memisahkan pasangan pilihan anak mereka
masing-masing (Tentang Dhia dan Cinta Elysa) mahupun kemelut dendam sesama elitis korporat Melayu
menerusi drama bersiri seperti Bunga April dan Puteri yang Ditukar.
Hakikatnya, drama
Melayu kita seolah-olah kekeringan nilai jiwa selain harus dibumbui dengan tema
percintaan. Hampir kesemua drama-drama (kajian penulis) ini kelihatan ghairah
serta tergoda untuk melimpahkan bibit-bibit percintaan antara teruna dan dara –
di sebalik duri ranjau dan cabaran yang dihadapi oleh figura-figura jelmaan
tersebut.
Persoalannya,
adakah nilai jiwa seperti dendam dan percintaan uda-dara itu semata-mata nilai
hakiki yang wujud dalam masyarakat Melayu? Adakah kita alpa dalam usaha untuk
mengangkat martabat psikologi masyarakat Melayu yang tabah dan berdaya tahan?
Begitu
juga dengan drama Anak Semangka dan
Penyihir Jahat yang diinspirasikan daripada dongeng rakyat Indonesia. Pihak
TV3 dilihat kurang bijaksana kerana menerbitkan ‘drama sampah’ sedemikian rupa.
Simbol-simbol kesaktian dan bercirikan dongeng itu sama sekali tidak sesuai
untuk menggambarkan kekuatan jiwa psikologi Melayu bahkan menuntun khalayak
untuk bersikap pasrah serta senantiasa mengharapkan keajaiban ‘dari langit’.
c)
Refleksi
Kepercayaan dan Agama Masyarakat Melayu
Unsur-unsur
Islam yang telah berabad lamanya berakar umbi dalam masyarakat Melayu
digambarkan kurang berperanan dalam kebanyakan filem/drama Melayu tempatan. Orientasi
keagamaan hanya berperanan sekadar sebagai pelengkap kepada watak yang
dihidupkan oleh barisan pelakon menerusi adegan seperti perkahwinan, kematian,
perubatan tradisional dan sesekali ritual agama (solat, membaca Al-Quran dan
kuliah agama).
Untuk
memperlihatkan perwatakan watak seperti alim, baik, solehah dan sebagainya;
busana budaya (songkok, serban, purdah, kopiah tudung dan telekung) pula dijadikan
sebagai batu asas membenarkan perilaku figura tersebut. Persoalan yang timbul
kini tidak lagi berkisar tentang refleksi agama, akan tetapi jauh lebih besar
ialah penyimpangan terhadap kefahaman agama yang benar.
Unsur-unsur
kurafat dan tahyul dilihat masih lagi menjadi momokan dalam drama Melayu
mutakhir. Tentang Dhia khususnya, begitu jelas
mempromosikan segelintir kepercayaan kolot tersebut menerusi watak ibu kepada Zikir (Ku Salmi) yang menggunakan
sihir terhadap Dhia, ibu dan bapanya bertujuan untuk membalas dendam dan memisahkan perkahwinan yang terbina. Sama
halnya dengan keghairahan pengarah/penerbit filem mengungguli persada filem
tanah air dengan lambakan filem-filem hantu – baik berbentuk humor mahupun action comedy.
4.
Saluran
Berita Arus Perdana sebagai Alat Propaganda Politik Sempit
Mengakui
bahawa media arus perdana merupakan saluran yang tepat bagi pihak kerajaan
menyebar info serta dasar-dasar yang berkaitan, namun penulis melihat
keterbukaan pihak media masih lagi terkongkong.
Buletin Utama khususnya masih lagi
dinilai sebagai alat propaganda politik sempit parti-parti tertentu. Ulasan
berita yang disajikan kepada para penonton cenderung menghentam dasar dan
tindak-tanduk pihak parti pembangkang tanpa laporan yang telus dan adil.
Bahkan, sesuatu isu yang bersifat sensitif dan disifatkan taboo dalam
masyarakat kita diperkatakan secara berleluasa tanpa pertimbangan yang wajar
terhadap tanggungjawab media yang lebih hakiki – pencetus fikiran rakyat.
Contohnya
seperti isu rakaman video lucah dan kes liwat ketua pembangkang yang masih lagi
dibicarakan di mahkamah.Tindakan pihak media sebegini kelihatan terlalu obses
untuk membentuk ‘penghakiman persepsi’ terhadap kes yang masih lagi
berlangsung.
Ironisnya,
masyarakat masa kini yang terdedah kepada sumber maklumat tanpa sempadan yang
bergerak pantas semakin matang menilai segala maklumat yang disalurkan kepada
mereka. Adalah kurang bijak untuk media televisyen seperti TV3 untuk terus
menutup ruang keterbukaan penyampaian maklumat mereka dan memilih untuk
berpihak kepada sesuatu parti politik kerana akan menjejaskan kelangsungan
hayat media mereka pada masa yang akan datang.
5.
Hiburan
Kosong Tanpa Pemikiran
Masyarakat
kita dilonggokkan dengan segala macam hiburan semasa yang kosong tanpa
pengisian pemikiran yang difikirkan wajar. Dunia glamor selebriti dijadikan
sebagai modal utama untuk mencatatkan jumlah penonton yang pastinya akan
menguntungkan syarikat televisyen tersebut.
Antaranya
seperti rancangan Melodi dan Fuhh! yang dapat dinilai sebagai
rancangan murahan yang menjaja kisah-kisah peribadi para selebriti tempatan
dengan alasan mereka ini merupakan public figure – massa berhak mengetahui
segala ehwal kehidupan mereka tanpa batasan.
Begitu
juga dengan rancangan sitkom seperti Senario: Misteri Mamboo yang sekadar
berbentuk hiburan ringan yang gagal menyampaikan pemikiran bernas kepada
khalayaknya.
Malah,
penonton dihidangkan jenaka yang berunsurkan kepercayaan terhadap seorang bomoh
Jawa yang ternyata berniat untuk menipu dan mengaut untung semata-mata.
Sudah
sampai masanya, rancangan hiburan tanah air kita beranjak daripada bentuk sedia
ada yang lapuk. Fenomena “Bread and
Circuses” moden seharusnya tidak lagi mencengkam minda massa sesuai dengan
kemodenan teknologi yang kita nikmati hari ini. (S. M. Zakir: 2010).
Methodologi pemerintah Rom untuk menguasai massa terdahulu tidak lagi relevan
untuk masyarakat Melayu ketika ini.
6.
Penutup
Tuntasnya,
industri hiburan dan seni kita terlalu masih jauh untuk mencapai keutuhan yang
diingini – membentuk masyarakat yang sedar akan usaha ke arah melestarian
warisan budaya berjati diri. Media televisyen kerajaan/swasta, penggerak seni
kreatif (pengarah, produser, penerbit dan pelakon) harus diberikan ruang yang besar untuk
mengadakan pembaharuan yang difikirkan wajar bagi memartabatkan kebudayaan
Melayu yang hakiki.
Dalam masa
yang sama, khalayak (penonton) perlu bijak menyaring serta memahami segala
bentuk simbol-simbol yang wujud dalam medium hiburan tanah air agar tidak
terperangkap dalam lingkaran idealisme baharu yang menggugat.
Adalah
diharapkan, kewujudan kandungan rancangan yang memenuhi rangkaian saluran
televisyen tanah air bukan sekadar hiburan kosong tanpa pengisian bagi
membentuk pemikiran anak bangsa, malah mampu bertindak sebagai pencetus kepada
pencerahan minda menjadi masyarakat yang ungul serta berbudaya.
7.
Rujukan
Hasyim Awang, Othman Yatim dan Nor Azita Che Din (Eds.). (2006).
Wacana Budaya.
Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.
Karl Mannheim. (1991). Ideology and Utopia: An Introduction to the Sociology of Knowledge. London: Routledge.
S. M. Zakir. (2010). Sinema: Kumpulan Esei Ulasan Filem.
Kuala Lumpur: Nusabuku Enterprise.
Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Budaya yang Tercabar.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Wan Abdul Kadir Wan Yusoff. (2006). Peradaban Melayu
dalam Modenisasi dan Globalisasi
Budaya dalam Hasyim Awang, Othman Yatim dan Nor Azita Che Din (Eds.). Wacana Budaya. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.
Langgan:
Catatan (Atom)