9.5.11

Pemikiran "3 Idiots" - dari "Ali Setan" ke "Kuliah Cinta"


Penulis bukanlah penggemar filem tegar. Jarang sekali ke panggung wayang baik di STAR KUCHING CINEPLEX Medan Pelita, Kuching mahupun Golden Screen Cinemas Mid Valley dan belum pernah berkunjung ke MBO Cinemas Kuching yang baru di The Spring Mall. Atas faktor kewangan pastinya. Meskipun begitu, penulis mengikuti perkembangan filem/drama daripada sumber internet yang dimuat turun. Menanggapi bahawa filem dan buku itu mempunyai orientasi yang sama - saling mempengaruhi; penulis bersifat agak memilih. Dan ia adalah satu kemestian. 

"3 Idiots"
Terkesan dengan filem "3 Idiots". Begitu signifikan dengan suhu dan panorama semasa institusi pengajian tingi tanah air. Walaupun filem India ini dah lama (sekitar tahun 2009) dan agak basi, namun mampu mengugah minda penulis untuk berfikir sejenak berkenaan paparan/kritikan yang diutarakan terhadap sistem pendidikan tinggi yang ternyata pesimis dan membelenggu potensi. Bila agaknya pembikin filem Malaysia mampu menghasilkan produk setara - kalau tidak pun, sealiran pemikiran yang terjana?

Ali Setan dan Kuliah Cinta
 
Sepanjang ingatan penulis, "Ali Setan 1 (1985)" arahan Tan Sri Senator Jins Samsudin juga berkisar tentang alam menara gading seperti "3 Idiots", namun dari perspektif yang jauh berbeza. Semata-mata kisah cinta remaja (mahasiswa?) yang ranum dengan keseronokan dan gelodak berahi kosong tanpa kepedulian untuk mengangkat naratif yang lebih bermakna - melalui aktornya seperti Ali (Setan) dan Asmidar. Begitu juga dengan filem "Kuliah Cinta" (2004), yang masih dibumbui dengan isi dan ranah yang serupa.


Tradisi dan identiti


Seperti kebanyakkan filem India yang lain, ciri-ciri muzikal, nyanyian dan lenggok tari adalah  unsur wajib dalam usaha mereka mencorakkan identiti dan meneruskan tradisi budaya masyarakat. Dari sudut ini, penulis mengkagumi sikap produksi India yang begitu tekal dan tebal dengan jati diri filem mereka - walaupun tanpa penggunaan teknologi terkini seperti CGI dan seumpamanya. Hasilnya, filem ini berjaya sepenuhnya dan dinobatkan sebagai the highest-grossing Bollywood film of all time.

Jurang dan penakatan pemikiran

Agaknya warga kita lebih gemar dengan aksi 'dalam kelambu' politikus dan hantu jembalang seperti "Mak Limah" dan filem-filem seangkatan dengannya. Bukan bermakna filem-filem ini tidak bagus. Tetapi penakatan terhadap corak pemikiran kita yang analitikal seolah-olah kabur, bahkan rancu. Insan yang benar-benar "berjiwa", akan melihat "3 Idiots" bukan sekadar filem. Lebih-lebih lagi mereka yang obses dan kaku; mengejar dan terus berlari menjejak pelangi. Sekadar cetusan, apa agaknya yang boleh kita banggakan dengan "Ali Setan" dan "Kuliah Cinta"?

3 ulasan:

  1. suatu buah fikiran yang dalam. filem itu hidup andai ada ruh nya. ruhnya pula disogok dari kalangan mereka yang melihat, menterjemah. pasti hidupnya filem andai ada yang mahu melihat, menterjemah.

    malangnya di tanah air tercinta banyak pemerhati, penterjemah dibuai enak rasa cinta dunia dan keempukan belai berahi. maka hidupnya filem di sana penuh dengan makanan ruh-ruh ini. kerna sogokan-sogokan inilah, maka tiada usaha keluar dari keringat mudah dengan menyuap nganga-nganga hauskan nafsu, berahi itulah.

    perlu ada produser yang lantang. yang lain. yang mahu menentang. mungkin rugi, maka itu judiannya. untung rugi Tuhan kira.

    terima kasih kerna mengingat.

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. ada filem Indonesia... Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi. Sama dengan filem 3 Idiots yang diadaptasi daripada novel yang hebat. Masih mengekalkan jati diri Melayu. Hanya satu perkataan 'mengesankan'. Jauh dibandingkan dengan filem-filem Malaysia yang hanya hiburan semata-mata dan terlalu mengikut musim -hantu,romantik,komedi,dll. Keluar sahaja daripada panggung wayang, balik ke rumah, dan tidur. Esoknya akan lupa filem tersebut.Hilang ingatan. Acapkali terjadi...

    hanya sekadar pandangan biasa :)

    BalasPadam