30.12.10

Titip

Saat aku bicara ehwal ecer-ecer angin, 
    putar-putar rembulan 
jua mentari, mahupun 
    suci murni gunung-ganang 
di belantara waktu; 

aku masih peduli 
akan tenat petani, 
nazak ekonomi, 
resah-kesah wai-bi, 
lapar marhaen, 
rengek Si Yatim,
sekalipun aku masih curiga 
pada upaya kita mencanai padu bangsa.

Dari satu hingga lima
aku hanya membilang angka 
tanpa makna yang luhur
maju atau mundur.

Di Balik AFF: Dari Bukit Jalil ke Bung Karno

Sorotan perlawanan akhir Indonesia menentang Malaysia: 
Apabila Jagoan Malaysia diiringi keselamatan yang begitu ketat sedemikian rupa, lahir seribu macam persepsi dan persoalan. 
Antaranya sejauh manakah khalayak dan pencinta bola sepak di seberang mendewasa daripada jumud akal budi? 

Dan Malaysia juga masih curiga pada harmoni serumpun?
Atau kita semakin teruji?
Pada tindak dan diplomasi?

5.12.10

ANTARA "BUKU WAJAH" DAN "BUKU QALBU"

A.Samad Said - sumber GOOGLE
(dari catatan - Hujan Pagi - dari abjad direnda kata)
Posted on October 27, 2010 by samadsaid

Seperti petang minggu lalu, petang itu juga kawasan Masjid Negara dikabusi asap nyamuk. Pedih tapi, saya tidak tersedar kerana lebih terbenam dalam “The Facebook Effect”. Buku David Kirkpatrick mendekatkan saya kepada Mark Zuckerberg—mahasiswa sangat muda yang sempat merombak sistem perhubungan manusia.

Sebelum itu, selang sehari, bersandar di sebuah tiang dalam masjid bersejarah itu, saya sempat ditegur agamawan. Maklum saya baca buku Inggeris. Saya sempat cepat mengeluarkan buku “Hidup Sesudah Mati” oleh Bey Arifin. Saya bayangkan minat saya duniawi dan ukhrawi. Kerana kini 75 tahun tentulah lebih ukhrawi.

Saya terpikat oleh penjelajahan dan “kecapaian” Bill Gates, Jeff Bezos dan Steve Job, sebelum Mark Zuckerberg. Saya menapis manfaat daripada kejayaan duniawi mereka.Antara sedar dan khayal—sebelum azan Asar dan Magrib—saya sempat keluar daripada buku “The Facebook Effect” itu dengan lega. Dan saya kembali ke bumi sendiri. Pertama, tentulah saya sendiripun berharap bangat akan lahir Mark Zuckerberg di kalangan siswa kita. Siapa tahu dalam senyap akan hadir sekelompok mahasiswa Melayu yang sempat memulakan “BukuQalbu” mengimbangi “BukuWajah”—Facebook. Yang sebuah memang duniawi; sebuah lagi syahdu ukhrawi.

Apakah antara sebaik kandungan buku ukhrawi itu?

Sambil bersandar antara khayal dan sedar, saya mengharapkan dalam “BukuQalbu” itu nanti sempatlah siswa kita menyedarkan pemimpinnya supaya jangan gelojoh tambah menara; tambahlah rumah murba. Usahlah galak melonggok hutang; pulihkanlah ekuiti bangsa. Kurangkan varsiti klon-klonan; perbanyak varsiti sendiri. Dan, usah galak dengan wang ikhsan; bertuluslah beri royalti.

Akhir-akhir ini saya makin tersedar bahawa kita sangat selesa menjadi bangsa penjanji. Dan janjinya pula sentiasa mega. Kebanyakan janji itu berakar hutang. Akan banyak IPO, juga pelbagai bond—beban hutang bagi generasi datang.

Sementara berwuduk baru, saya terdengar: Bolehkah kita jadi bangsa penjimat, bukan pemboros? Elaklah jadi George Bush dan Gordon Brown yang lebih mewariskan hutang daripada mewariskan khazanah. Tolong abadikan itu dalam “BukuQalbu”. Tolong!

Catatan : Orang tua dari sejarah, aku jadi pilu. Pak Samad, janganlah kau mati dulu...

4.12.10

BUKTI

Aku selalu dewakan kalimat 'cinta Sang Angin'.
Bukan aku lemah. Tidak sekali.
Itu prinsip yang asas. Aku fikir begitu.

Tapi hari ini aku teruji.
Benar-benar.
Aku hulurkan tangan. Dia salam dan kucup.
Cukup syahdu dan suci.

Tapi aku mahu ia benar-benar suci - yang tulus dan luhur;
kalau aku tak hulur tangan untuk dia kucup.

Aku insaf.
Sepatutnya begitulah!

EKOR DUA RIBU SE-PULUH

Pertama langkah yang berderap; semua kenangan bagai terimbau.
Saat aku mulai jejak geroda raksasa di awan biru - antara harap dan juang.
Mimpi dan impian.

Semalam, aku mula menjadi insan.
Yang derita dicumbui neraka dunia.
Merindu syorga..
O, bidadari masih ayu; meski aku hilang tampan.

Tanah nusa Kenyalang, aku pulang!

19.09.10 / 9.54 pagi

1.12.10

KALAU...

Maaf aku guna kata 'kalau'.

Kalau aku mampu genangkan rahmat Tuhan laksana sebuah lautan,
aku ingin terus hidup abadi; berenang dan menyelam puas-puas.
Tanpa sisa dan sia-sia.
Kewajaran yang pasti, aku manusia yang akan terus teruji
dan diuji.

Dan tekal mencari, Rahmah Ilahi.
Kerana aku manusia, kau manusia.