11.5.11

Disiplin Nasional - Pemikiran S. H. Alatas Terhadap Asas Nilai Kebudayaan

Pendahuluan
    Menggali gagasan yang terangkum dalam hasil tulisan S. H. Alatas ini, pokok perbincangan beliau  ialah berkenaan dengan disiplin nasional. Kewajaran disiplin positif dipupuk dalam kalangan masyarakat adalah begitu mendesak untuk mengekang penularan disiplin negatif secara lebih tuntas. Untuk lebih adil, kita telusuri dengan lebih dekat.

Konsep Disiplin Nasional
    Beliau mentakrifkan disiplin nasional ini sebagai segala sifat-sifat usaha yang membangun dan ditujukan pada objektif-objektif tertentu yang dianggap baik dan perlu oleh masyarakat berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan serta dilakukan secara kolektif mengikuti peraturan-peraturan tertentu.
    Kontradiksi nilai yang lebih menonjol pastinya melibatkan perspektif antara nilai-nilai positif dan negatif yang wujud. Secara langsung daripada tindak-tanduk dan tindakan pihak yang berautoriti khasnya. Maka di sini, kita digugah dengan satu rangkuman nilai disiplin nasional yang lebih rasional sifatnya sebagai satu disiplin positif yang tujuannya untuk mencapai kesejahteraan masyarakat; keadilan dan keamanan di antara manusia; kecukupan hidup; pembentukan peribadi yang bermutu tinggi dalam bidang ilmu dan akhlak; serta segala sesuatu yang membawa kebaikan insan.
      Berasaskan teras makna yang telah dirincikan, terdapat satu kesatuan yang perlu dihuraikan agar kefahaman dapat digagaskan dengan lebih analitis dan berkesan. Keperluan disiplin nasional bukan sahaja satu lontaran populis yang bersesuaian dengan kadar peredaran politik mahupun kebudayaan semata-mata.  
    Namun, menurut S. H. Alatas – harus didasari dengan satu penilaian dengan keyakinan sifat yang bakal menentukan suasana dan disiplin nasional pada sesuatu tempat dan waktu yang tepat serta kewajarannya iaitu disiplin positif.

Korupsi, Tikus dan Implikasi
    Dalam memperlihatkan perbezaan antara faktor disiplin dan faktor kelas dalam masyarakat, beliau mengambil contoh korupsi sebagai satu perbandingan.
“…Walaupun kelas kapitalis sudah dihapuskan di negara komunis yang kononnya selalu membawa pada korupsi, nyata bahawa korupsi juga merebak di negara komunis. Jelaslah bahawa korupsi itu adalah satu gejala yang menghinggapi semua sistem masyarakat dan kelas.    
                                            (Halaman 125)
            Dalam membincangkan keperluan nasional, gagasan atau idea beliau sudah pastinya bertitik-tolak dari definisi awal yang telah diutarakan tadi iaitu “segala sifat-sifat usaha yang membangun dan ditujukan pada objektif-objektif tertentu” dan penilaian makna frasa “kolektif mengikuti peraturan-peraturan tertentu”.
     Perbincangan pokok masih lagi berkisar tentang matlamat akhir pelaksanaan iaitu kesejahteraan masyarakat dengan tertegaknya keadilan dan keamanan hidup yang rukun damai. Namun, ironisnya S. H. Alatas mengemukakan catatan sejarah bahawa krisis kewibawaan dan kemerosotan disiplin positif kerap kali didalangi oleh golongan atasan atau elitis.
    Dalam hal ini, beliau mengemukakan beberapa contoh dari sejarah Rumawi Purbakala, kejatuhan kerajaan Vietnam kepada pihak Komunis dan pandangan daripada penulis politik Itali yang mahsyur iaitu Niccolo Machiavelli. Sebagai satu perbandingan yang adil, disiplin negatif yang diwakili oleh perlakuan korupsi ini, disifatkan sebagai faktor utama yang merosakkan hidup kenegaraan.
     Menariknya, beliau turut melontarkan satu persoalan yang berkaitan dengan implikasi negatif atau lebih tepat lagi natijah daripada kelesuan pihak berkuasa menerapkan  disiplin nasional dalam kalangan masyarakat.  Antara lain, kemerosotan disiplin nasional akan menghalang proses pembangunan dan meruncingkan pertentangan kelas seterusnya mencetuskan kebangkitan revolusi.
      Seperti penegasan beliau dalam halaman 126:
“…Korupsi subur dalam keadaan merosotnya disiplin nasional kerana jika disiplin hidup dengan sendirinya korupsi tidak dapat berkuasa.”
    Membicarakan  persolan disiplin nasional, terdapat satu persoalan lain yang saling berhubung antara satu sama lain iaitu berkenaan hubungan manusia dengan hukum atau undang-undang. Sejauh mana hukum ini mempengaruhi kesepaduan nilai disiplin nasional kalangan masyarakat?
    Sekali lagi penekanan beliau lebih terarah kepada sifat-sifat positif yang perlu wujud dalam diri penguasa. Tuntasnya, hukum atau undang-undang hanyalah sebagai landasan aktor perundangan bagi mencapai maksud yang diingini iaitu keadilan dan kesejahteraan sejagat. Dan lebih mustahak daripada itu, pembersihan batiniah golongan ini paling utama bagi memastikan disiplin nasional ini berjaya memacu kepada pembangunan negara. Hal ini termasuklah kesedaran berkenaan sifat malu yang kolektif dan sifat marah terhadap kebejatan sosial.
     S. H. Alatas mengheret perbincangan ke satu ruang wacana yang diolah secara sinikal apabila mengetengahkan hasil kajian yang berkaitan dengan tikus. Tikus sinonim dengan lumrah sifatnya yang pengotor, bijak mencuri dan sentiasa mendatangkan kerosakan terhadap tanaman padi pesawah dan segala macam sifat buruk yang lain.
       Analogi ini seiring dengan saranan beliau:
“Jika kesedaran disiplin nasional merangkum sang tikus, maka sifat-sifat sang tikus juga nanti akan ditingalkan. Sifat-sifat sang tikus akan hidup jika disiplin nasional lemah. Malu akan sifat-sifat ini dan marah terhadap perbuatan yang berbau sang tikus, inilah satu kesedaran yang perlu timbul sebagai penggerak jiwa golongan berkuasa.    
                                                                                        (Halaman 130) 
 
   Untuk lebih jelas, permasalahan tikus ini diangkat dan dijadikan sebagai anologi yang praktikal kerana memperlihatkan keculasan penguasa yang dipilih oleh rakyat. Seharusnyalah reaksi dan kepekaan para pemimpin ini lebih menyeluruh sekalipun berkaitan dengan masalah tikus yang dianggap remeh.
     Pada akhirnya, peranan dalam menghidupkan disiplin nasional ini akan memastikan kelestarian kebudayaan nasional yang ingin dibentuk. Dalam erti kata yang lebih signifikan, menurut S. H. Alatas, “kebudayaan nasional ini ialah nilai-nilai kebudayaan yang dapat diterima oleh seluruh anggota masyarakat, nilai-nilai yang bertugas nasional, yang bersifat rasional dan moral, yang dapat mencangkum kemanusiaan, yang meninggikan darjat keadilan dan menguatkan keperibadian seseorang.”

Latoa Orang-orang Bugis dan Siri
   Mendukung kepada aspirasi tersebut, S.H. Alatas mengungkapkan satu lagi contoh yang menarik iaitu Latoa orang-orang Bugis yang tercatat dalam lontora-lantora dari kurun 16 dan 17 Masehi.
“Keseluruhan falsafah sosial dan budaya masyrakat Bugis, yang merangkumi hidup politik, keadilan, ekonomi, adat, keluarga dan lain-lainnya tersimpul dalam apa yang dinamakan ‘panngaderreng’. Ini dibagi pada lima bahagian, iaitu adat, keadilan, kekeluargaan dan hukum. Dalam menjelmakan ‘panngaderrang’ ini, satu dasar perbuatan dan pemikiran yang utama dianggap sebagai daya pendorong yang kuat sekali iaitu ‘siri’.”
                                            (Halaman 131)
    Makna siri Bugis ini merupakan inti pati atau asas pokok kepada pembudayaan yang perlu dihidupkan dalam budaya nasional kerana mempunyai sifat yang utuh dalam memperkuat dan memperkaya aliran-aliran kebudayaan sedia ada.
     Natijah kepada segala kegusaran yang terangkum dalam makalah ini menghujahkan beberapa pemikiran yang mendukung kepada kepentingan disiplin nasional kepada sesebuah negara yang ingin menempah pembangunan yang beridentitikan kebudayaan kebangsaan serta diterima oleh semua. Namun demikian,  setiap pemimpin yang berkuasa harus menjiwai prinsip-prinsip keadilan, kebaikan, kesejahteraan dan rasional seperti yang terdapat dalam nilai-nilai budaya warisan rantau kita yang pernah gemilang suatu ketika dahulu.  

Rujukan:
S.H. Alatas (Prof.), “Nilai Kebudayaan dan Disiplin Nasional”     dalam Zainal Abidin Borhan dan Wan Abdul Kadir Yusoff (eds.), 1985, Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan
Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu.

9.5.11

Pemikiran "3 Idiots" - dari "Ali Setan" ke "Kuliah Cinta"


Penulis bukanlah penggemar filem tegar. Jarang sekali ke panggung wayang baik di STAR KUCHING CINEPLEX Medan Pelita, Kuching mahupun Golden Screen Cinemas Mid Valley dan belum pernah berkunjung ke MBO Cinemas Kuching yang baru di The Spring Mall. Atas faktor kewangan pastinya. Meskipun begitu, penulis mengikuti perkembangan filem/drama daripada sumber internet yang dimuat turun. Menanggapi bahawa filem dan buku itu mempunyai orientasi yang sama - saling mempengaruhi; penulis bersifat agak memilih. Dan ia adalah satu kemestian. 

"3 Idiots"
Terkesan dengan filem "3 Idiots". Begitu signifikan dengan suhu dan panorama semasa institusi pengajian tingi tanah air. Walaupun filem India ini dah lama (sekitar tahun 2009) dan agak basi, namun mampu mengugah minda penulis untuk berfikir sejenak berkenaan paparan/kritikan yang diutarakan terhadap sistem pendidikan tinggi yang ternyata pesimis dan membelenggu potensi. Bila agaknya pembikin filem Malaysia mampu menghasilkan produk setara - kalau tidak pun, sealiran pemikiran yang terjana?

Ali Setan dan Kuliah Cinta
 
Sepanjang ingatan penulis, "Ali Setan 1 (1985)" arahan Tan Sri Senator Jins Samsudin juga berkisar tentang alam menara gading seperti "3 Idiots", namun dari perspektif yang jauh berbeza. Semata-mata kisah cinta remaja (mahasiswa?) yang ranum dengan keseronokan dan gelodak berahi kosong tanpa kepedulian untuk mengangkat naratif yang lebih bermakna - melalui aktornya seperti Ali (Setan) dan Asmidar. Begitu juga dengan filem "Kuliah Cinta" (2004), yang masih dibumbui dengan isi dan ranah yang serupa.


Tradisi dan identiti


Seperti kebanyakkan filem India yang lain, ciri-ciri muzikal, nyanyian dan lenggok tari adalah  unsur wajib dalam usaha mereka mencorakkan identiti dan meneruskan tradisi budaya masyarakat. Dari sudut ini, penulis mengkagumi sikap produksi India yang begitu tekal dan tebal dengan jati diri filem mereka - walaupun tanpa penggunaan teknologi terkini seperti CGI dan seumpamanya. Hasilnya, filem ini berjaya sepenuhnya dan dinobatkan sebagai the highest-grossing Bollywood film of all time.

Jurang dan penakatan pemikiran

Agaknya warga kita lebih gemar dengan aksi 'dalam kelambu' politikus dan hantu jembalang seperti "Mak Limah" dan filem-filem seangkatan dengannya. Bukan bermakna filem-filem ini tidak bagus. Tetapi penakatan terhadap corak pemikiran kita yang analitikal seolah-olah kabur, bahkan rancu. Insan yang benar-benar "berjiwa", akan melihat "3 Idiots" bukan sekadar filem. Lebih-lebih lagi mereka yang obses dan kaku; mengejar dan terus berlari menjejak pelangi. Sekadar cetusan, apa agaknya yang boleh kita banggakan dengan "Ali Setan" dan "Kuliah Cinta"?

6.5.11

ISLAM DAN KEBUDAYAAN MELAYU


1.    Abstrak
          Menelusuri kewujudan Islam di Alam Melayu memungkinkan beberapa penemuan yang cukup menarik untuk dikaji. Justeru, makalah yang dihasilkan ini bertujuan untuk menjawab persoalan berkaitan Islam seputar kebudayaan masyarakat Melayu dan pengaruhnya.
        Seterusnya, penelitian juga akan dilihat berkaitan orientasi keagamaan dalam kalangan masyarakat Melayu dari aspek sosial, , Collective Representation (CR) dan  perkembangan intelektual, falsafah dan sains.

2.    Pendahuluan
          Kebudayaan Melayu umumnya sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan yang ideal dan menjadi penakatan kepada ketamadunan Melayu itu sendiri. Kebudayaan itu termasuklah gaya hidup, teknik, kaedah, prinsip, nilai, pandangan hidup Melayu, kepercayaan dan mitos.           Namun begitu, aspek kebudayaan Melayu yang berpaksikan nilai dan sistem nilainya, tidak dapat lari daripada pengaruh Islam yang kuat. Dalam hal ini, Islam memainkan peranan yang begitu penting  sebagai usaha yang sejajar mengadaptasikan manusia kepada persekitaran sosial mahu pun alam semesta.
          Hal ini disepakati oleh Abdul Rahman Haji Ismail (1998) dalam tulisan beliau, Melayu dan Kemelayuan: Peribadi Anjal Meredah Zaman;
“…apabila Islam pula tiba orang Melayu menerima Islam, menghayatinya dalam suatu proses penuntutan ilmu yang tersendiri, dan mengubahsuaikan bahasa dan budaya mereka selaras dengan budaya baru itu.”

3.    Islam dan Pengaruhnya
          3.1     Teras Islam
          Teras kepada Islam ialah monotheisme (tauhid keesaan), tradisi nabi dan rasul (sunnah), kitab (wahyu), alam ghaib, spiritual dan kerohanian, kehidupan selepas mati (akhirat) dan takdir (qada’ dan qadar).
          Kepercayaan ini dikuatkan lagi oleh lima rukun Islam yang menjadi asas kepada keimanan seseorang iaitu mengucap 2 kalimah syahadah, menunaikan solat 5 waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji (bagi yang berkemampuan).
          Antara nilai utama yang menjadi kesepaduan nilai Islami ialah menerapkan keperibadian umat agar mencintai keamanan dalam uasaha melahirkan masyarakat yang berakhlak, kesalihan, saling bantu-membantu, bertanggungjawab, menjunjung keadilan sosial, kepimpinan dan moral, hormat-menghormati, toleransi, kekayaan jiwa dan keintelektualan.
          Justeru, kategori-kategori keagamaan yang lazim itu telah mencerminkan suatu proses penilaian yang bersifat hukuman atau kalsifikasi setiap perlakuan seperti ‘wajib’, ‘haram’, ‘sunat’, ‘makruh’, ‘harus’, neutral dan sebagainya. Konteks ‘haram’ bukan sahaja berkaitan makanan tetapi juga ‘duit haram’, ‘pakaian haram’. Seperti juga ‘makanan halal’, ‘rezeki halal’ dan  ‘perniagaan halal’ merupakan contoh perlakuan yang dikategorikan sebagai ibadah .

          3.2     Pengaruh Islam
          Setelah memahami beberapa perkara perdu dalam  Islam, maka kita akan dapat menggali pengaruh Islam terhadap budaya masyarakat Melayu. Begitu juga dengan hubungan integral antara agama dan budaya masyarakat Melayu yang dahulunya pernah diselubungi beberapa sistem kepercayaan awal seperti Animisme, Hindu, Buddha, India dan China.
          Dalam konteks masyarakat Melayu pasca-Islam, hampir kesemuanya beragama Islam hasil penyesuaian Islam yang meluas dan bersifat tradisi. Contoh dapat dilihat melalui nama-nama anak, azan, upacara adat, kenduri doa selamat dan sebagainya.
          Begitu juga dengan penerapan sahsiah anak-anak Melayu yang menggalakkan anak-anak mengaji dan belajar ilmu agama, syair-syair pahlawan Islam, pantun, gurindam dan lain-lain.
          Instrumen budaya masyarakat Melayu dilihat mempunyai satu wadah aplikasi keagamaan yang kelihatan lebih teratur iaitu rites de’ passage dan ritual calenderical. Rites de’ passage lebih menjurus kepada satu proses peningkatan tahap seseorang seperti adat/upacara bercukur, berkhatan, perkahwinan, pengkebumian jenazah, etika pemakaian, makanan dan ketatasusilaan. Manakala ritual de’ passage pula berkaitan dengan festival atau upacara yang diadakan secara berkelompok mengikut bulan-bulan Islam seperti Hari Raya Puasa, Aidil ‘Adha, Maulidur-rasul, Sya’aban dan lain-lain.
         
          Matlamat akhir dalam Islam yang ingin dicoraki ialah ‘konsep insan kamil’ iaitu keperibadian manusia yang sempurna dan memanifestasikan nama-nama Allah sebagai nilai yang ideal. Justeru, manusia akan dapat melaksanakan tugas hakiki kewujudannya sebagai khalifah Allah di bumi.

4.    Sumbangan Islam terhadap kebudayaan Melayu
          Menurut Syed Naquib Al-Attas, kedatangan Islam ke Alam Melayu telah banyak menggerakkan proses merevolusikan pandangan hidup masyarakat Melayu dari amalan sebelumnya yang masih hanyut dengan mitos khayalan.
          Untuk mengupas persoalan ini, penulis akan merincikan huraian dengan menumpukan beberapa aspek iaitu pengaruh Islam terhadap terhadap kebudayaan Melayu; rasionalisasi budaya, pendemokratisan masyarakat Melayu, peningkatan individualisme dan kesejagatan jati diri Melayu akibat kedatangan Islam sebagai hujahan.   

4.1          Rasionalisasi Budaya
          Islam telah memperkenalkan satu pendekatan yang diistilahkan sebagai monoteisme iaitu konsep kesatuan alam (tauhid) yang mengakui bahawa hanya Allah swt sebagai Tuhan yang Esa. Seperti yang ditegaskan oleh Ishak bin Saad (2006):
 “Dalam perkembangan pemikiran masyarakat Melayu proses evolusi ini turut dirasai. Malah perubahan memakan masa ratusan tahun. Bermula dari sistem kepercayaan Paganisme dan Animisme, kemudian Hindu-Buddha hinggalah kepada sistem kepercayaan Islam…”  
(Pemikiran Masyarakat Melayu: Pertentangan Pemikiran Melayu dan Islam)
          Islam yang dianuti bahawasanya telah mengubah secara langsung
weltanchunng atau pandangan semesta masyarakat Melayu bahawa terdapat kuasa terbesar yang menggerakkan kuasa-kuasa alam yang lain. Oleh demikian, sesudah menganuti Islam, mereka berusaha untuk meninggalkan amalan lama yang dikhuatiri berunsur syirik dan bercanggahan dengan tuntutan Islam. Hal ini disebabkan, dosa syirik ini merupakan dosa terbesar dalam agama Islam.
          Apabila pandangan alam Melayu telah dirasionalkan, maka dengan itu serba sedikit ia mula menghakis pemikiran collective representation (CR) dan menghapuskan amalan adat resam yang tidak selari dengan agama.
          Menurut Prof. Mohd. Taib Osman (1978) dalam buku Kepercayaan Tradisional Dalam Sistem Kepercayaan Melayu Ditinjau dengan Pendekatan Antropologi Budaya,
“…ianya merupakan ciri-ciri kepercayaan yang telah menjalani proses-proses persambungan dan perubahan. Pada peringkat sedar orang Melayu, pemisahan antara kepercayaan warisan ini dengan agama Islam dapat dilihat pada pelbagai corak manifestasinya.”
                                                                                                    (halaman 8)
         
4.2          Pendemokratisan Masyarakat Melayu
          Masyarakat Melayu feudal menurut Prof. Cheah Boon Kheng (1994) ialah satu bentuk organisasi politik dan sosial yang di dalamnya terdapat kelas atau golongan hulubalang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam hierarki  masyarakat feudal itu.
          Dalam buku syarahan umum beliau yang bertajuk Feudalisme Melayu Ciri-ciri dan Persejarahannya, beliau turut memetik pandangan Dr. Shaharuddin Maaruf (anak murid S.H. Alatas) bahawa,
“Dengan feudalisme saya bermaksud satu bentuk organisasi  sosial serta unsur-unsur psikologi yang berkenaan.”
          Namun demikian, pengukuhan unsur-unsur Islam yang lebih demokratis telah secara beransur memoderatkan feudalisme Melayu itu sendiri. Hal ini dapat disorot menerusi doktrin pemerintahan Islam mithali yang dipancarkan melalui contoh pemerintahan khalifah, nabi dan rasul terdahulu.
          Islam yang menjunjung keluhuran undang-undang juga menyeru kepada kepatuhan perundangan tanpa mengira siapa jua hatta anak sendiri. Kehakiman menurut Islam memikul satu amanah yang berat  berintegriti dan perlu berlandaskan hukum-hukum syara’.
          Begitu juga dengan doktrin kehakiman yang membolehkan raja dihukum untuk mendidik golongan pemimpin ini dengan peranan dan tugas sebenar mereka kepada rakyat yang dipimpin.
          Hal ini berbeza dengan sisitem kehakiman zaman feudal kerana kuasa menjatuhkan hukuman terletak sepenuhnya di tangan raja yang memerintah. Di sini kita melihat bahawa Islam telah memajukan hak individu untuk dinilai secara saksama secara adil, tanpa unsur-unsur diskriminasi dan tidak melihat pangkat atau darjat seseorang.
4.3          Peningkatan Individualisme
          Dalam konteks individualisme yang positif, selepas kedatangan Islam, masyarakat Melayu dipupuk dengan kesedaran yang memberikan penekanan terhadap keperibadian diri dan insan. Dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa harga diri Islam lebih berpengaruh dalam persaingan konsep berbanding feudalisme.
          Seperti yang dihuraikan oleh Dr. Sidik Fadil (1998) dalam Minda Melayu Baru bahawa, “salah satu faktor terbesar perkembangan pesat Islam di rantau ini ialah penampilannya sebagai suatu liberating force atau suatu gerakan pembebasan, terutama menerusi ajarannya tentang ketinggian dan persamaan martabat insan.”
          Masyarakat Melayu dalam sekalian banyak keadaan, tidak lagi merasai bahawa mereka mewakili suatu pandangan kumpulan semata-mata akan tetapi bebas memberikan pandangan sendiri selagi tidak bercanggahan dengan hukum-hakam, bertanggungjawab dan selari di landasan kesalihan seorang mukmin yang diredhai-Nya.
4.4          Kesejagatan Jati Diri Melayu
          Natijah daripada penerimaan Islam di Alam Melayu ini secara khususnya telah membentuk satu jadi diri ummah yang utuh. Demikian banyak pengaruh luar yang wujud di sekitar lingkungan peradabannya telah membantu secara langsung proses universalisasi jati diri Melayu.
          Kemunculan tulisan Jawi yang mengalir menerusi pengaruh daripada bahasa Arab, (kesusasteraan  Parsi, Rom, India dan Sepanyol) berupa karya-karya kesusasteraan berunsur Islam dan memperlihatkan kemunculan tokoh-tokoh berketurunan Melayu seperti Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan ramai lagi.
          Seperti penegasan Abdul Rahman Haji Ismail (1998);
“Sesungguhnya Melayu dan kemelayuannya telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan di Nusantara. Ia telah menyumbang mencorakkan suatu watak yang tersendiri yang           membedakannya daripada perwujudan lain… dan agama Islam menjadi perantara menyatu dan mendamaikan kecenderungan-kecenderungan yang ada kalanya bertelagah.”                                                                                                  (Melayu dan Kemelayuan: Peribadi Anjal Meredah   Zaman, halaman 534)
        Lebih utama daripada itu, masyarakat Melayu telah membina word view pandangan semesta mereka sendiri yang menjadi alternatif kepada pegangan feudalisme yang mengongkong, yang pastinya sepadu dengan kemurniaan tuntutan Islam.

5.    Orientasi Keagamaan
        Persoalan yang wajar diutarakan ialah sejauh manakah keberkesan pengislaman di Alam Melayu?
        Perlu diakui bahawa complexity perubahan yang berlaku adalah tidak menyeluruh dalam konteks yang lebih luas terhadap islamisasi masyarakat dan feudalisme. Tanpa menafikan sumbangan Islam terhadap sosio-budaya masyarakat Melayu secara umum.
        Dalam h al ini, premis hujah adalah berasaskan penaakulan terhadap orientasi keagamaan masyarakat Melayu secara khusus. ‘Orientasi keagamaan’ bermaksud kehidupan dan amalan keagamaan seharian yang berlaku dalam lingkungan sejarah (kehidupan). Namun begitu, konsep ‘orientasi keagamaan’ ini bukanlah bermaksud agama ideal atau dalam bentuk doktrin, ajaran atau ‘kitab suci’. Untuk memudahkan perbincangan, penulis akan mengupas orientasi keagamaan ini berdasarkan beberapa premis.
5.1          Sosial
        Pengaruh feudalisme hakikatnya masih berterusan dan juga mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu sehingga kini. Hal ini dapat ditinjau melalui  perbincangan aspek-aspek rasional dan kemanusiaan dalam ajaran Islam diukur dan ditapis serta kurang disenangi.  Kepercayaan baru (Islam) bagi masyarakat Melayu mengalami proses penyesuaian terhadap nilai-nilai tradisi dan pengaruh Hindu-Buddha yang pada akhirnya member kesan kepada cakupan dimensi ‘sosial’ dalam ajaran Islam.
        Sistem sosial masyarakat turut memperlihatkan pertentangan (contradicting) antara nilai-nilai duniawi dan ukhrawi.  Sewaktu era kolonial lagi, Barat dilihat sebagai pelopor kepada sekularisme yang meminggirkan aspek keagamaan dalam ruang kehidupan dan kerohaniaan.
        Selain itu, kesangsian terhadap keperibadian manusia atau manusia sendiri dilihat menjadi figure yang negatif dengan mempamerkan keterbatasan, ketakburan dan kebongkakan manusia sebagai penekanan yang tidak relevan. Di sini memperlihatkan kurangnya kesepaduan dan integrasi antara duniawi dan ukhrawi; iaitu kecenderungan yang melampau kepada akhirat sehingga mengabaikan kehidupan yang sejahtera di dunia.
5.2          Collective Representation (CR)
        Collective representation atau turut dikenali sebagai primitive mentality merupakan salah satu unsur feudal yang masih lagi berakar umbi dalam kalangan masyarakat Melayu hatta hingga ke hari ini. 
        Pengaruh collective representation dapat dikesani melalui pembahagian ‘bukan rasional’ dan ‘tidak rasional’ yang terjana melalui kekeliruan masyarakat Melayu memahami setiap fenomena yang dilihat bercampur-aduk dengan segala macam hal-hal mistikal, di luar logika akliah dan karut-marut tetapi diyakini sebagai kemampuan yang  benar-benar wujud. Justeru unsur-unsur tidak rasional ini disahkan atas nama ‘iman’ dan ‘keagamaan’ yang diyakini.
        Ironisnya, collective representation dilihat menyerapi orientasi keagamaan secara sedar dalam membentuk satu dimensi rasionalisasi masyarakat yang jauh menyimpang dari landasan Islam yang sebnarnya. Hal ini turut diakui oleh Prof. Mohd. Taib Osman (1978) dalam tulisan beliau yang bertajuk, Kepercayaan Tradisional Dalam Sistem Kepercayaan Melayu Ditinjau dengan Pendekatan Antropologi Budaya;
        “…konsep kajian kepercayaan tradisional atau folk belief orang Melayu merupakan sesuatu yang bukan senang hendak dihuraikan, kerana ianya bercampur-aduk antara unsur-unsur kepercayaan yang diwarisi sejak zaman berzaman dan perlakuan-perlakuan yang, walupun dianggap sebagai perlakuan agama oleh orang kebanyakan (“the masses” dalam erti kata Menshing), ditegah atau dianggap salah oleh para ulama, seperti pemujaan keramat, mandi safar ataupun penggunaan ilmu sihir.”
                                                                                                  (halaman 12)
       
5.3          Perkembangan Intelektual, Falsafah dan Sains
        Untuk berlaku jujur terhadap sejarah, masyarakat Melayu sememangnya ketandusan tradisi keintelektualan dan masih dipengaruhi oleh pemikiran ortodok yang pesimistik. Kelompok masyarakat dilihat kurang menyenangi pemikiran kemanusiaan, rasionalisme dan intelektual
        Sifat-sifat ‘tradisionalis’ yang begitu kuat membelenggu membentuk kefahaman yang dicorak oleh keadaan-keadaan zaman lampau, pra-industri dan pra-kapitalis. Natijahnya, pengaruhnya amat kuat dalam orientasi keagamaan yang mengutamakan etika individu dan peribadi. Justeru menjejas orientasi yang lebih ‘objektif’ dan relevan bagi konteks dan keperluan semasa.
        Sebagai contoh adat-upacara yang berlangsung seperti jamu ancak, puja pantai, semah perahu dan sebagainya merupakan manifestasi pemikiran orang Melayu berdasarkan tindakan, perlakuan, tanggapan, sikap dan pernyataan mereka terhadap keintelektualan dan falsafah.
        Namun, perlulah disedari bahawa penekanan terhadap unsur-unsur yang kurang rasional dan intelek ini memberikan implikasi terhadap perkembangan ilmu dan sains. Terbukti bahawa unsur-unsur ‘emosi’ terhadap setiap entiti yang menuntut pemahaman intelek yang rasional telah dibayangi oleh kekangan minda yang tidak bercambah.sekaligus menghalang penyesuaian yang berjaya dan progresif terhadap modenisasi.
        Pemikiran kolektif masyarakat yang bersifat autoritis juga dilihat kurang individualis dan bebas untuk memhujahkan idea dan pemikiran dengan lebih kritis. Gabungan antara dua orientasi ini iaitu ‘autoritis’ dan ‘tradisionalis’ telah secara tidak langsung menyekat budaya ilmu dan pengetahuan dan budaya intelek berasaskan sains.
6.    Rumusan
        Tuntasnya, Islam telah banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu dengan merubah seluruh ruang kehidupan. Begitu juga dengan sumbangan Islam yang berjaya membina word-view dan weltanchunng Melayu terhadap nilai-nilai yang bersifat sejagat.
        Namun begitu, sesungguhnya, seperti juga pendapat Za’ba bahawa kepercayaan tradisonal yang berorientasikan keagamaan yang jumud merupakan penghalang kepada kemajuan bangsa.
        Justeru,  nilai-nilai yang baik dalam Islam haruslah disinkritasikan dengan lebih  bijak bagi menjana kemajuan umat ke masyarakat yang berbudaya ilmu dan berintelek.