19.1.11

Relung Bebola Sakti 5

Aku mau babak ini yang terakhir.


Aku cuba.


Demikian ia berasa walang akan keletah dan kerenah dunia,
akhirnya sepasang bebola sakti itu ditarik jua.


Aneh sekali, usianya kini separuh abad, teranjak.
Malah anaknya makin dewasa dan uban mulai memutih di merata anggota.


Benar, ia lari dari dunia yang celaka;
ironisnya ia hilang nikmat menjadi manusia.
Tanpa berani menempuh uji dan duga.


Di situ ia pedih mencanai kesal.


Andai kau mahu dewasa, kau serulah ia!
Dengan siaga!


Saat Angin Semilir Tak Lagi Berdesir

Kata-kata jadi bisu,
pada hujung bicara.

Begini, aku tak pernah anggap aku suci,
jauh sekali luhur budi.

Barangkali jujur itu senjata aku yang sulit membunuh; menebak, tapi bukan musuh.

Tak jua bermakna aku kejam.
Cuma aku sedikit lantang.

Tapi, saat angin semilir tak lagi berdesir kala sore!


Fikirku demikian orang jujur tak lagi perlu.

17.1.11

Relung Bebola Sakti 4

Demikian ia berkelana
menyusur liku-liku dewasa sudah...
dalam duga dan cabar

Ingat lagi, dia punya sepasang bebola. Begitu 'kan?
Saat ini dia ligat berkira-kira.
Hidup makin payah merusuh, hingga tak keruan diri.

Tunggu, cerita ini belum tamat!

15.1.11

Relung Bebola Sakti 3

dua bahagian sudah kau fahami?
Itu janji kita. 


Ingat lagi?


Izinkan aku sedikit bercerita.
Sampai bebola yang ketiga, lelaki itu teranjak 24 tahun usianya.
Dia terpana melihat seorang isteri dan anak lelaki - 
seusia dirinya saat belia remaja. 
Bergaya.
Hatinya begitu hairan. Atas segala keajaiban yang bertalu.


Oh, rupanya dia sudah dewasa tanpa sedar.
Mustajab amat bebola sakti itu, alangkah! 


Tunggu, ada lagi sepasang babak cerita.

Relung Bebola Sakti 2

Ingatan lagi, tiga bebola pertama, pasti kamu suka.
Dua terakhir, bagimu bagai tak bermakna.
Mengerti?
Ulang suara, cerita ini berangkai.

Hati dan jiwa mesti tabah. Anggap bebola itu nyawa terakhir.

Kalau ada Iblis hasut, baca Yaasin pendinding diri.

Ingat, cerita ini berangkai.
Tahu?



Jujurnya, harus begitu!

14.1.11

Relung Bebola Sakti 1

Aku ingatkan.
Tapi cerita ini berangkai.
Ingat. Berangkai. 
Kamu mesti faham baik-baik. Setuju?


Kamu ada lima biji bebola dalam satu relung.
Setiap kali kamu tarik, umurmu teranjak delapan tahun.
Ingat sekali lagi.
Tarik bila kamu benar-benar perlu alias kecewa.


Ingatan lagi, tiga bebola pertama, pasti kamu suka.
Dua terakhir, bagimu bagai tak bermakna.
Mengerti?
Ulang suara, cerita ini berangkai. 



13.1.11

Ulang Suara

Baiklah.
Pohon cinta mula bertunas sayang.
Kita ulang suara. 



Dari lima menjadi tiga. 
Seterusnya Dua.


Biarkan segala prasangka, 
layu di hujung rindu.


Oh, satu lagi;
ranting setia jangan patah; bahaya.

Aku ulang. 


Bahaya.
Kalau merbuk ingin bersarang, ladeni dengan mesra.
Ramahi dengan ikhlas.

Tapi sayang, tunggu gerimis reda.


11.1.11

11.1.11

11 Januari 2 tahun lepas, aku temankan kawan aku makan KFC.
Jam sepuluh 8 minit.



Setahun lepas tu, aku belikan dia mini kek. 
Hari yang sama.

Lepas dia tiup lilin, aku ucap tahniah, sebab umur dia dah 19 tahun.
Muda remaja.

Yang pasti, usia sebegini begitu banyak gelora.
Aku berani cakap sebab aku pernah rasa dan alami; harap-harap
dia tak tewas macam aku.

Hari ini, tarikh yang cantik. Sekali dalam seribu tahun.

11.1.11

Usia dia beranjak satu dasawarsa.
Dan tanpa aku temankan dia sambut hari lahir.

Deng, selamat hari lahir.
Kita rapat macam gula dengan kopi.
Biarpun kopi kadang-kadang pahit, tapi orang tetap telan; sebab jadi manis lepas tambah gula.

Sebelum aku lupa, 
kaunyala sepuntung rokok, tiup sampai padam. 
Dah padam, kau doa pada Tuhan moga umur ko panjang.
Boleh jumpa aku lagi tahun depan - kita lawan PES!



Sweet 20th, buddy!



10.1.11

Dunia Ini Penjara Hidup

Lahir dalam sebuah keluarga yang besar bagiku adalah rahmat.
Aku dididik mentaakul dan memahami; dengan cara sendiri.

Segalanya sendiri.
Dan aku bebas untuk memilih; setelah dipandu.

Lalu aku ingin jadi semua. Dalam sedikit kuantiti yang serupa mereka.
Aku bentuk kelainan yang unik - menjadi aku yang tulen. 
Aku kagumi unik. 

Sedikit hampa, aku masih lemah menyaring kebebasan.
Tapi itu silap aku. Aku mengaku.

Sejujurnya, aku pernah tewas.
Menggauli iblis di pintu neraka.
Dan ia sejarah. Yang tak mahu aku ungkap. 
Barangkali hanya membunuh saja aku anggap dosa.

Kali ini, aku insaf.
Tuhan. 
Satu. 
Tak pernah Dua.
Bijaksana.
Adil.
Maha.

Ya, dunia ini penjara hidup.
Sampai detik itu, kita bebas.
Sebelum itu, kita tetap terpenjara walau sudah mati.
Dalam ruang penjara ini, kita hanya ada dua teman.

Nafsu dan Akal.
Selebihnya kena ramah berkawan.
Sekadar gambar hiasan sahaja.


(Aku mohon maaf kalau kamu tak setuju.)




9.1.11

Sasterawan Negara

Dalam ramai-ramai sasterawan negara kat bawah ni, aku paling meminati dua orang.
Abdullah Hussein dan Pak Samad.
Pak Samad begitu hebat dalam dunia kepenyairannya. 
Pak Abdullah, wajahnya mirip arwah bapak.
Pun begitu, mereka ini adalah ikon penulis negara 
yang sudah teruji dan diuji.
Anak-anak muda.
Tak kenal maka tak cinta.


SASTERAWAN PERTAMA

1981 : Kamaludin Muhammad
 (Keris Mas)


 SASTERAWAN KEDUA
1982 : Shahnon Ahmad


SASTERAWAN KETIGA
1983 : Datuk Dr. Usman Awang


SASTERAWAN KEEMPAT
1986 : Datuk A. Samad Said
(Pak Samad)


SASTERAWAN KELIMA
1988 : Muhamad Abdul Biang (Arena Wati)


SASTERAWAN KEENAM
1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh




SASTERAWAN KETUJUH

1993 : Datuk Noordin Hassan


SASTERAWAN KELAPAN
1996 : Datuk Abdullah Hussein


SASTERAWAN KESEMBILAN
2003 : S Othman Kelantan


SASTERAWAN KESEPULUH

2009 Mohd. Anuar Rethwan


SASTERAWAN KESEBELAS

2011 Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)

kredit untuk tintaku (http://cikgurozie.blogspot.com)




8.1.11

Malu 2

Selepas beberapa hari, aku sempat jumpa dia.


Teman aku yang dulu. 


Dia senyum lalu jabat tangan.
Pada aku.


Aku sedikit gembira.
Dia mahu senyum dan bercakap.


Aku ucap tahniah sebab result dia gempak untuk Semester lepas.
Syabas.
Aku tahu dia hebat.


Tapi aku masih malu.
Tegur dia macam dulu-dulu.
Macam first-lunch.

7.1.11

29 Dis - Selamat Hari Lahir Cinta

Selamat Hari Lahir Cinta - Sweet 23
 Awak: Umur saya 23. Kenapa lilinnya 5?
Saya: Sebab awak comel macam panda. 2 lilin                  
         besar. Tiga kecil.


Cinta, mesti awak hairan kenapa ada 3 bunga.

Pertama bunga, cinta saya pada ibu.

Awak jatuh nombor 2.

Ketiga, teman-teman yang hadir dalam hidup saya.
Biar awak tahu, saya letakkan mereka di sisi jiwa raga - selain awak.


Biar saya luahkan hati saya, pada awak!

Sayang,
jalan ini bukan lembah indah
syurga,
untuk kita tempuh
dengan ria dan tawa semata.

Jalan ini duri semalunya,
bisa pedih
menusuk
tumit kakimu.

Semahunya,
aku siapkan dikau
dengan sepatu iman,
dan kebaya kalis.

Moga hindar dari panah Iblis!

Sayang, selamat hari lahir!

UM & KK8

Hari ini genap sehari aku kembali ke UM selepas bercuti (sambil bekerja) lebih sebulan.
Aku sendiri tau, banyak benda yang perlu diselesaikan sementelah aku belum sempat lagi daftar subjek, bayar yuran kolej & pengajian, langsai hutang-piutang dan banyak lagi. 

Saat aku melangkah masuk ke dalam garuda Air-Asia semalam, hati dipagut rasa sayu yang amat.

Namun, aku masih tersenyum puas kerana sempat memahat memori yang begitu indah bersama teman dan keluarga yang sentiasa menyayangi dan memberikan semangat agar terus berjaya. 

Buat mak Usu Saloma, maaf banyak-banyak. 
Tak sempat mengucup tangan dan ucap salam selamat tinggal.
Iboh kecik ati. Makseh banyak-banyak!
Seperti katanya, "Ikhlas setiap pekerjaan, berkat dibalas Allah. "
Amin.

Kini aku kembali mengharung dunia kampus.
Bersama teman-teman seperjuangan, yang memadam resahku pada nusa Kenyalang!

1.1.11

Pertama Dua Ribu ke-11

Pada ekor Disember semalam, aku tinggalkan dua ribu sepuluh dengan tepukan.

Aku kini teranjak ke arena  dua ribu sebelas yang begitu menggugah; moga bintang dan rembulan dewasaku kian cerlang dan bersinar.

Ingin sekali mendakap bahagia, sesudah teduh hujan nestapa.

Dan terus kental merengkuh gelora, di samudera dunia.

Dua ribu ke-11, aku mahu hebat, alangkah!